Ada satu kesan buruk yang sedang menular dalam masyarakat dewasa ini. Sesuatu yang ramai sedar puncanya malah sudah pun merasai kesan pengurangannya, akan tetapi mungkin ramai yang tidak tahu apa peranannya dalam sistem pemerintahan sesebuah negara. Jika ada yang berjaya menebak isunya....tahniah dan sila teruskan merancang perbelanjaan anda. Sambil-sambil tu, berdoalah semoga kerajaan kembali prihatin dengan kita semua.
Bagi yang kurang tahu....atau mungkin tidak tahu langsung....silakan anda membaca perihal cerita SUBSIDI yang impaknya semakin terasa sejajar dengan kadar inflasi yang terus meningkat. Sebelum tu, jangan sesekali berfikir bahawa ini adalah cerita panas yang saya bongkarkan dari fail-fail sulit kerajaan yer, kerana tujuan penulisan ini tidak lain adalah untuk memberitahu bahawa segala kecelaruan yang tercetus kala ini adalah tunas kepada kemusnahan ekonomi negara akan datang....sekiranya....ia tidak dicantas secepat mungkin.
Sebenarnya, pemberian subsidi adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah S.A.W di dalam mentadbir negara Islam. Ia diberi kepada rakyat atas dasar menunaikan tanggungjawab sebagai seorang khalifah; selaku amir yang bertanggungjawab membebaskan rakyat dari belenggu kemiskinan sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negara. Semacam 'cliche' bunyinyakan? Memang pun ia satu persepsi usang, tetapi itulah corak pentadbiran Baginda S.A.W hasil terjemahan terus Kalamullah ke dalam masyarakat.
Corak pemerintahan inilah yang di 'copy paste' oleh Para Sahabat hinggakan ungkapan Khalifah Umar r.a: "Jika rakyatku kelaparan, aku ingin menjadi orang pertama yang merasainya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang terakhir yang menikmatinya", menjadi begitu masyhur lantas berjaya menundukkan hati pemimpin-pemimpin kerajaan lain untuk bernaung di bawah pemerintahannya sepanjang beliau bergelar Amirul Mukminin.
Namun begitu, benarkah pemberian subsidi kepada rakyat pada saat ini akan mengakibatkan lambakan hutang sehingga anak cucu cicit kita nanti akan mewarisinya? Sedangkan, kalau kita selusuri lembaran sejarah pemerintahan Islam lampau, apa yang berlaku adalah sebaliknya; berlawanan dengan hipotesis yang telah dibentangkan oleh Bapak-Bapak Menteri kita? Kenapa para Khalifah dulunya, seperti Umar Abdul Aziz berupaya memakmurkan negara dengan pemberian subsidi pada rakyat?
Sememangnya, banyak persoalan yang boleh diutarakan.....namun kemusykilan yang paling utama, apakah kesilapan sebenar pemerintahan negara kita? Untuk mengupasnya dengan lebih mendalam lagi, ada baiknya kita selami corak penubuhan sesebuah kerajaan. Selaku negara yang dibina atas nama demokrasi, pemerintah telah dilantik menerusi pilihanraya yang 'bersih lagi adil'. Tanpa sebarang kekecohan yang melampaui skala darurat, carta organisasinya diisi oleh barisan pemimpin yang juga 'bersih lagi adil'. Sumber kewangan kerajaan ini pula, diperolehi dari wang rakyat yang dikutip menerusi cukai dan zakat. Hasilnya, terbinalah sebuah kerajaan yang kukuh dan bersepadu menerusi kerjasama antara rakyat dan pemimpin.
No comments:
Post a Comment