Monday, July 21, 2008

BILA HATI BERBICARA (4)

Sarah baru selesai menikmati makan malam bersama Mak Tam, pembantu rumahnya. Ibu dan dua orang kakaknya telah keluar menemani ayahnya seawal pukul 7.00 malam untuk menghadiri majlis makan malam bersama rakan perniagaan dari Brunei di Mandarin Oriental Hotel berhampiran KLCC. Tadi, ibu ada juga mengajaknya untuk turut serta, cuma dia sahaja yang menolak kerana ingin menyelesaikan kerja sekolah. Abangnya pula baru sahaja pulang dari kerja. Semasa Sarah menjemputnya untuk makan bersama, dia cuma tersenyum sambil menunjukkan reaksi kekenyangan. Barangkali dah makan di luar dengan kawan-kawan sepejabatnya. Jadinya, Sarah dan Mak Tam berdua sahajalah yang menghabiskan lauk Siakap Tiga Rasa dan Telur Bungkus yang telah dimasak. Kenyang Sarah dek ‘air tangan’ Mak Tam yang sememangnya pandai memasak.

Selepas membantu Mak Tam membersihkan meja makan, Sarah bergerak menuju ke ruang rehat di tingkat 1. Dia mengambil ‘remote control’ lalu menghidupkan televisyen. Berkali-kali dia menekan alat itu untuk menukar rangkaian tv. Tujuannya untuk mencari saluran TV3 bagi menonton rancangan Bersamamu. Sejak pertama kali ia ditayangkan di slot perdana saluran televisyen nombor satu negara, Sarah tak pernah ketinggalan menyaksikan program berbentuk kemasyarakatan ini. Padanya, program tv itu jujur dalam membicarakan tentang nilai-nilai kemanusiaan. Di samping itu, program tersebut juga berupaya mengajak khalayak penonton sepertinya untuk sama-sama memahami erti sebenar kesyukuran, keprihatinan, kasih sayang dan juga mendorong diri agar tidak berputus asa malah sentiasa berusaha memperbaiki diri demi meneruskan usia kehidupan masing-masing.

Sarah suka sangat menonton rancangan itu meskipun tahu dirinya sering gagal membendung ‘hujan gerimis’ yang menitis dari mata. Jauh dilubuk hati, dia mengakui betapa indah dunia ini bila manusia saling berkongsi rasa suka dan duka. Berbeza dengan drama airmata yang dilakonkan, para pelakon mungkin berjaya menjiwai watak si miskin atau insan yang bernasib malang, namun hakikatnya kebanyakan dari kelompok seni itu sekadar mengejar populariti malah tidak peduli pun apa yang sedang dilalui oleh golongan ini. Tak kurang juga yang meletakkan harga bila diminta menyumbang tenaga dan masa secara sukarela demi membantu meringankan penderitaan mereka yang kurang bernasib baik. “Hipokrit!” Ngomel Sarah sendirian.

Trit…trit! Trit...trit! Trit…trit! Bunyi telefon memenuhi ruang rumah semi-D itu. Sarah pura-pura tidak mendengarnya…dengan harapan abangnya akan turun dari tingkat atas dan menjawab panggilan itu. Bukannya apa, setiap kali panggilan diangkat, si pemanggil adalah dari kalangan ‘wanita’ yang ingin berbual dengan abangnya. Muak Sarah menjawab telefon buat si ‘playboy’ perasan itu. Akan tetapi, sudah 3 minit berlalu namun telefon masih berdering tanda panggilan tidak berjawab. Sarah malas-malas bangkit dari sofa dan berjalan menuju ke arah telefon yang terletak di atas meja bulat kecil berhampiran tangga utama. Perlahan dia mengangkat telefon yang berdering sambil duduk di atas kerusi kayu getah berwarna ‘wallnut’ berhampirannya.

“Hello!” Sarah memulakan perbualan.

“Hai Sarah!”

Sarah diam. Dia kenal benar pemilik suara itu. Seorang insan yang satu masa dahulu sangat akrab dengannya. Insan itulah yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan padanya ketika dia dirajut kesedihan atas pemergian arwah neneknya dahulu, ketika dia tenggelam punca dalam pelajaran, dan dalam banyak keadaan lagi, individu itu memainkan peranannya yang tersendiri demi memastikan kebahagiannya. Namun, harga yang perlu dibayar atas segala kebaikan itu amat besar sehingga melibatkan masa depannya. Mulanya, Sarah buntu mencari jalan penyelesaian, akan tetapi segala-galanya telah pun berakhir dua hari yang lalu. Sarah telah menoktahkan episod hidupnya bersama lelaki itu….selepas meminta nasihat dari Amar, rakan sahabat baiknya.

“Ya….kenapa cikgu….telefon Sarah malam-malam nie?” Sarah membalas lemah.

“Rindu. Kenapa tak angkat handphone….macam dah tak sukakan Abang jer?

Sarah bungkam. Dia sedang memikirkan kata-kata yang sesuai untuk membalas pertanyaan itu.

“Maaf cikgu, Sarah dah pun jelaskan segalanya hari tu. Sarah harap cikgu faham dan dapat terima segala keputusan Sarah. Terima kasih atas budi baik cikgu selama ini,” Sarah menyusun kata dengan berhati-hati, tidak mahu mengguris perasaan insan yang masih lagi dihormatinya.

“Sarah, bagaimana abang boleh berhenti bernafas sedangkan Sarah adalah wangian yang mengharumkan udara di sekelilingnya? Mustahil Sarah! Abang sanggup menunggu sampai bila-bila…sampai Sarah bersedia. Please!” Suara itu sekali lagi merayunya. Sarah bosan mendengar pujukan itu. Dia ingin segera menamatkan perbualan yang sia-sia ini.

“Maafkan Sarah cikgu. Sarah memang suka pada cikgu, tetapi….sebagai guru dan pembimbing sahaja, tak lebih dari itu. Maafkan Sarah, cikgu!” Sarah terus meletakkan gagang telefon di atas meja. Biarlah ‘cikgu’ terus bercakap seorang diri. Dia tidak mahu lagi mengusutkan kepala melayan permintaan yang tidak mungkin dipenuhinya.

Sarah kembali ke ruang rehat rumahnya lalu merebahkan badannya ke atas sofa. Sambil berbaring dia menekup mukanya dengan sebiji bantal pengalas sofa. Niatnya untuk menonton rancangan kegemarannya itu mati serta-merta. Pandangannya gelap. Dia ingin bebas dari memikirkan masalah terbarunya itu. Namun, semakin dicuba, semakin kuat pula godaan datang untuk mengingati ‘cikgu’ yang tinggi lampai berkulit cerah itu.

Sarah bingung. Dia mencapai telefon bimbitnya lantas mendail nombor Asma.

Dia ingin berkongsi cerita tentang apa yang telah berlaku tadi. Sesuatu yang disangkanya akan selesai dengan mudah sebaik sahaja dia membuat keputusan, akan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Si jejaka telah mula mengganggu dengan menelefonnya ke rumah!

“Asma, tolong aku!” pinta Sarah dalam hati.

No comments: