Tuesday, July 15, 2008

SEGI TIGA "LEMAS"


Suasana malam minggu di Bandaraya Kuala Lumpur memang mengujakan. Jalan rayanya jauh lebih sibuk berbanding siang hari yang sememangnya agak lengang dari kenderaan. Seolah-olah, penghuni kota ini memang menantikan larutnya mentari di penjuru barat untuk melakukan pelbagai aktiviti demi menghiburkan diri dengan segala macam keseronokan duniawi. Pelik? Tiada yang anehnya kehidupan semacam ini. Barangkali gelap malam itu tidak berjaya disukat oleh retina mata segelintir 'penunggunya' yang senantiasa kehausan. Kebanyakan dari kelompok ini sanggup melemparkan jasadnya ke dalam sangkar ayam berbulu itik, malah tak kurang juga yang memilih untuk berenang di perairan Pulau Batu Hitam.

Najmi memandu perlahan menyusuri Jalan Ampang. Dia memandang cermin sisi dan belakang kereta untuk membaca suasana trafik di sekitarnya. Jelas, jalan kelihatan sesak dengan pelbagai jenis kenderaan dikedua-dua hala. Kenderaan di belakang pula mengekori rapat. Menyedari itu, Najmi memandu dengan lebih berhati-hati. Sesekali, pandangan matanya terganggu dek silauan lampu halogen putih pada kenderaan dari arah bertentangan.

Dia musykil, kenapa masih ramai yang menggunakan lampu bergas xenon ini sedangkan pihak JPJ telah melarang pemasangannya kerana membahayakan para pemandu yang lain? Malah, kebanyakan pemilik kedai aksesori kereta yang menawarkan produk ini tidak mematuhi piawaian pemasangan dengan penggunaan warna, xenon kit dan glare shield yang tidak sesuai. Juga terdapat kesalahan pada ketinggian dan sudut lampu yang dipasang. Masalahnya, kebanyakan pemilik kenderaan dari kelompok ini terpengaruh dengan kecanggihan aksesori yang terdapat pada kereta mewah seperti Audi dan BMW. Natijahnya, ubahsuai tidak mengikut spesifikasi, ditambah pula suhu lampu melampaui 8000K, pemilik kenderaan itu sendiri tidak dapat melihat apa yang berlaku di hadapannya ketika hujan lebat. Entahlah...Najmi menggeleng kepala, pening memikirkan keselamatan tiada nilai bila nafsu menjadi raja.

“Dah pukul 11.30 malam rupanya,” Najmi berbicara sendirian tatkala merenung angka digital yang terpapar pada jam kereta VIVA 1.0 SXi miliknya. Kereta itu baru sahaja dibeli 2 bulan yang lalu, itu pun kerana memikirkan kelewatannya sampai ke pejabat hampir setiap hari sejak kebelakangan ini, gara-gara masalah pengangkutan awam. Kalau diikutkan hati, dia lebih suka menaiki bas sahaja. Di samping menjimatkan, dapat juga dia menambah kenalan baru. Sebelum ini, ada juga pelawaan dari rakan serumahnya untuk berkongsi kereta. Bukannya dia tak sudi, cuma dia terpaksa menolak perkongsian tidak bijak itu yang hanya akan menyusahkan sahabat baiknya. Maklumlah, kedua-duanya bekerja di lokasi yang berbeza. Seorang di segitiga emas...dia pula mencari rezeki di segitiga 'lemas'.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi mengalunkan irama instrumental To You All dendangan Aluto Michi. Segera dia memasang alat berbual bebas ditelinganya.

“Mie, awak kat mana ni?” suara seorang gadis kedengaran. Nadanya sedikit keras, barangkali tertekan dengan situasi yang menyelubungi dirinya waktu itu. Mungkin juga sedang bosan 'menikmati' masalah yang sedang dilaluinya.

“Saya dah nak sampai ni, sekejap je lagi,” Najmi membalas perlahan.

“Lamanya nak sampai, saya dah penat tunggu ni. Dah tak larat nak berdiri kat depan ni.”

Najmi tersenyum. Lama? Rasanya, cepat juga dia memandu dari Bukit Permai ke Jalan Ampang. Kalau nak diikutkan, laluan perjalanan ke Kuala Lumpur pada malam minggu sebegini pasti akan mengambil masa yang agak lama dan tersangkut-sangkut akibat kesesakan lalulintas. Cadangnya tadi, dia ingin menggunakan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 lalu membelok ke Jalan Ampang, akan tetapi hatinya tergerak untuk melencong ke Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur. Alhamdulillah, laluan dari Kampung Baru ke Jalan Sultan Ismail lengang tanpa sebarang 'road block' oleh pihak berkuasa yang sering mengadakan operasi membanteras aktiviti Mat Rempit.

“Dah dekat dah ni, awak tunggu je saya kat situ ok!”. Najmi meredakan keresahan si gadis. Dia masak benar dengan perangai Maisarah, teman wanita Ikram, sahabat baiknya.

No comments: