Thursday, April 3, 2008

BUKTIKAN CINTAMU!

Ramai di kalangan kita yang merasakan dengan melafazkan ayat-ayat cinta sahaja sudah cukup untuk membuktikan 'cinta' itu sendiri. Dalam ertikata lain, semakin kerap kata-kata berbaur cinta itu diluahkan, semakin perkasa roh cinta itu. Bagi kelompok pencinta tegar kategori ini, lafaz itu akan menjadi saksi ketulusan perasaan mereka yang bersenandung dalam jiwa paling dalam, yang mana rasa sayang dan kasih itu seandainya bisa dirakam akan berkumandang mendayu-dayu dalam bentuk irama dan lagu paling melankolik serta kekal 'evergreen' sepanjang zaman. Atau mungkin jika bisa ditaip menggunakan 'komputer', ia akan mencetuskan karya tahap 'masterpiece' malah tak mustahil memenangi anugerah Nobel kategori sastera kelas wahid. Konon!

Memang kalau diteliti, ada saranan dari Rasulullah S.A.W buat mereka yang mengasihi saudara masing-masing supaya menyatakan rasa kasih dan sayang tersebut.

Daripada Miqdam bin Ma'di Kariba R.A., Rasulullah S.A.W bersabda: "Apabila seseorang insan mengasihi saudaranya, beritahulah kepadanya bahawa ia mengasihinya." (HR. Abu Daud & Al-Tirmizi)

Memberitahu di sini tidak bermaksud cukup sekadar melaungkan ke seluruh penjuru dunia hatta kelubang tenggiling bahawa kasihnya bak buih-buih lautan yang tak akan hilang walau diterjah badai, akan tetapi ia wajib dizahirkan dengan amalan. Kalau setakat berdegar-degar kata cintakan Islam tetapi tingkahlaku 'sipi' pun tak nampak Islamic... baik tak yah. Kalau cakap sayangkan Rasulullah S.A.W tapi main bola tak tutup aurat siap leh hisap rokok dua kotak lepas 'game', simpan je la dalam kotak rokok rasa sayang tue. Senang citer, kalau cakap jer lebih tapi praktikalnya songsang, lebih baik tak payah la nak uar-uarkan rasa cinta itu.

Ada satu kisah yang menarik berkenaan pembuktian rasa cinta dan sayang ini. Pernah dalam suatu majlis, ketika Rasulullah S.A.W sedang mengajar para Sahabat, datanglah seorang wanita tua memohon izin bertemu Baginda seketika. Sejurus bersemuka, wanita tersebut melafazkan rasa cintanya pada Rasulullah S.A.W malah bukan setakat itu sahaja, dia membuktikannya dengan menghadiahkan kepada Baginda beberapa biji buah limau. (Masa tu buah limau kira buah yang istimewa sebab ia bukan dari Tanah Arab) Wanita tersebut mengatakan yang dia ingin melihat Baginda menjamahnya dan hanya akan beredar seusai Baginda menikmati kesemuanya. Rasulullah S.A.W menerima pemberian tersebut dengan gembira. Baginda dengan berbesar hati makan buah limau tersebut sehingga habis sambil tersenyum. Melihat akan kelakuan Baginda, wanita tua tersebut pulang dengan hati yang ceria.

Namun begitu, para Sahabat merasa pelik kerana Rasulullah S.A.W tidak mempelawa mereka untuk sama-sama merasai kelazatan buah limau tersebut. (Ai...takkan makan sensorang kut!) Umar Al-Khattab terus bertanya pada Baginda akan sebab yang tersirat di sebaliknya. Lantas, Baginda dengan kesopanan yang tidak dapat digambarkan memberitahu kepada para Sahabat bahawa buah limau yang dimakannya tadi masam rasanya. Demi menghargai pemberian itu serta memelihara perasaannya, Baginda tidak mahu wanita tersebut melihat wajah berkerut para Sahabat dek masamnya limau itu.

Bayangkan perasaan sayang dan cinta yang bertimbal balik dengan perkataan dan perbuatan. Bersulam-sulam rasa kasih tersebut dengan perilaku yang terpuji. Wanita tua itu melafazkan rasa cintanya seraya membuktikan dengan pemberian yang ikhlas manakala Baginda S.A.W pula membalasnya dengan memelihara hati dan perasaannya. Pergh......memang susah nak buat, yela....Rasulullah S.A.W boleh senyum sambil mengunyah limau masam. Yang menakjubkan, Rasulullah S.A.W juga turut menunjukkan rasa cintanya kepada para Sahabat dengan tidak menjemput mereka menikmati makanan tersebut demi memelihara hati mereka dari bersangka buruk pada wanita berkenaan.

Daripada Abu Mas'ud al-Ansori R.A., Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapat ganjaran amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutinya." (HR Muslim)

Mampukah aku mencontohi akhlak ini? Semalam pun aku dah 'fail'........tapi insyaAllah......tiada yang mustahil selagi kita optimis dalam berusaha.

No comments: