Sunday, December 30, 2007

CINTAKAH ANDA PADA ILMU?

Jumaat minggu lepas, selesai Solat Asar di surau Dataran Maybank, perut bergendang tak henti-henti. Meletup-letup angin di dalamnya. Terus aku turun ke kafetaria dan singgah ke kedai Bro. Sahul, mintak dia buatkan segelas Air Halia 'O' suam. Nun, kat tempat biasa aku nampak Lan, Zack dan Don sedang berborak sambil minum petang. Segera aku dekati kelompok mereka dan mujurlah ada satu ‘seat’ kosong. Kebetulan pula, dorang baru sahaja selesai ‘bergelak ketawa’ atas insiden yang aku tak pasti pangkalnya.

“Wah! Seronok nampak…..ada citer best ker?”, tegurku sambil mengambil tempat yang kosong di antara Don dan Zack.

“Nie ha, Lan nie….ada citer lawak dari Langkawi”, pantas Don menjawab.

Aku tengok mata Zack merah berair dek tahan gelak. Terus Lan mengulang semula cerita tentang sekumpulan Mat Rempit yang telah mengikuti program motivasi diri.

Menurut yang empunya cerita, kisah ni berlaku di Langkawi. Waktu itu, para remaja Mat Rempit ini sedang bersiap-sedia untuk menunaikan Solat Subuh berjemaah. Alhamdulillah, dengan semangat dan iltizam pada saat itu, berjaya juga golongan yang perlukan bimbingan ini mempersiapkan diri untuk membangunkan agama mereka pagi itu. Dalam keheningan Subuh yang disirami embun dingin, dengan nyanyian serangga hutan bersahut-sahutan, seorang di antara mereka diminta melaungkan Azan Subuh. Alhamdulillah, ada yang berani tampil memikul keluhuran Bilal Ar-Rabah. Lantas, hening dingin berangin Subuh itu terbuai jua dengan kalimah Allah Maha Besar.


Begitulah, laungan Bilal disahut penuh semangat oleh para sahabat 'sepermotoran'. Bergegar surau kali ini dengan sorakan memuji Allah. Nak dijadikan cerita, selesai sahaja menyebut Hayya ‘Alal Falah, si Bilal terlupa panggilan seterusnya.

“As…..As…..As….”, terkebil-kebil si Bilal mencari rangkapnya.

“As apa?” sergah seorang koordinator program dek rimas melihat kealpaan si Bilal.

Terkejut dengan sergahan itu, segera si Bilal menyambung “Assalamu’alaikum!”.

Dan pagi itu, bersaksilah sekalian alam bahawa azan Subuh telah disulami ucapan salam oleh si Bilal yang terlupa.

Yang lebih menariknya, serentak penuh semangat, panggilan itu dijawab oleh teman-teman 'sepermotoran', “Wa’alaikumussalam”.

Berhenti sahaja kisahnya di situ, bukan sahaja aku bahkan Zack dan Don yang dah pun dengar ceritanya tadi pulun gelak sekali lagi. Zack, agaknya dah lama sangat memendam tawa, akhirnya tak berdaya sampaikan tersembur minumannya ke baju aku. Fuh! Penangan lawak santai memang tak larat nak layan. Tapi, ini bukan semata-mata lawak tetapi kisah benar yang menunjukkan kurangnya amalan pada ilmu yang kita miliki selama ini.

Kurangnya ilmu pada pihak koordinator yang sepatutnya membimbing dengan teguran bukan menyergah si pelupa.

Daripada Abu Mas'ud al-Ansori R.A., Nabi S.A.W. bersabda: "Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, dia mendapat ganjaran amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutinya." (HR. Muslim)

Kurangnya ilmu para remaja kita hinggakan perkara-perkara biasa seperti ini menjadi satu kesilapan yang luarbiasa bunyinya.

Dan kurangnya ilmu pada kita kerana terhibur dengan kisah-kisah yang menunjukkan kejahilan orang lain (termasuklah aku) sedangkan jelas perlakuan tersebut ditegah oleh Baginda S.A.W yang tercinta.

Daripada Abu Hurairah R.A., Nabi S.A.W. bersabda: "Janganlah kamu banyak tertawa kerana ia mematikan hati kamu."(HR. Ibnu Majah)

Astaghfirullahal'azim, rasa bersalah pulak bila sedari betapa saat itu aku begitu seronok mentertawakan adik-adik aku yang jahil. Kesian, kehidupan dunia benar-benar menipu mereka hingga ke tahap sedemikian, tetapi aku berharap sangat mereka yang telah mengikuti program tersebut dilimpahi hidayah dariNya. Siapa tahu, malu dek insiden yang timbul telah mencelikkan mata hati yang buta selama ini.

Daripada Mu'awiyah bin Abu Sufyan R.A., Nabi S.A.W. bersabda: "Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya." (HR. al-Bukhari & Muslim)

Maklumlah, ramai yang dulunya celik dah mula buta sejak akhir-akhir ini. Tak percaya? Cuba buka siaran TV kita sekarang, perhatikan betapa banyaknya Kuiz SMS bermaharajalela di dalamnya. Contohnya cam Teka-Teki, Celebmania dan mcm2 lagi kat dlm TV + Astro. Aku pasti ramai yang dah lupa bahawa pertandingan sedemikian telah difatwakan Haram hukumnya tapi hakikatnya sekarang ini, ramai Melayu Muslim yang tergila-gila menyertainya. Tu tak kira lagi orang-orang Muslim kita yang untung besar 'join' bisnes Call Center, ala..yang kerap diiklankan dalam TV + suratkhabar skarang nie. Sistem tu ok, tapi pakat duk buat Kuiz SMS guna sistem tu yang salah sesangat tu. Soalnya, ada tak sesiapa nak kupas isu ni balik. Aku? Dah buat dah.

Tak nak percaya? Terpulang, tapi tolonglah ambil masa untuk sentiasa belajar mengenali agama Islam kita, sebab orang macam kita ni memang mudah lupa!

No comments: