Wednesday, January 2, 2008

SIAPAKAH SI DIA PEWARIS 'ITQAAN' ?

Hujan masih rintik. Belum ada tanda-tanda ia akan berhenti. Meski pun begitu, jalanraya sudah kembali sibuk. Kenderaan berpapasan menuju ke destinasi masing-masing. Barangkali, ramai yang baru sahaja keluar dari kediaman menuju ke tempat kerja sebaik sahaja mendapati hujan mula reda.

Seperti hari-hari yang lalu, Syah setia menunggu 'driver'nya di perhentian Jalan Kuari untuk pergi bekerja. Dari situ, dia akan menaiki bas sehingga ke Taman Maluri. Kemudian, berjalan kaki ke Stesen Maluri Star LRT dan terus ke Masjid Jamek sebelum menaiki Putra LRT untuk ke KL Sentral. Kalau diikutkan, boleh saja dia menaiki teksi ke stesen Star LRT yang terdekat, Cempaka dan terus ke Masjid Jamek, tetapi dia lebih selesa keluar awal pagi selepas solat Subuh untuk menggunakan pengangkutan awam. Riadah ringan sambil menjimatkan kos pengangkutan!

Cuma, sejak 2 minggu yang lalu, rutin hariannya sedikit berubah. Semuanya kerana gadis itu. Segala-galanya bermula sejak dia singgah di sebuah farmasi untuk membeli ubat batuk buat dirinya. Masa yang terbatas dek kesibukan bekerja menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk ke klinik. Ada saja perkara yang mengganggu perancangannya, mesyuarat tergemparla, orang nak jumpala, 'malasla', senang cerita macam-macamla yang berlaku. Biasanya, dia selalu berjumpa Dr. Razak di Taman Putra bila sakit-sakit ni; seorang doktor yang begitu prihatin dalam memberikan rawatan kepada para pesakitnya. Memang selesa bertemu dan berbual dengannya sampaikan rasa sakit lega seketika. Tapi, dua minggu lepas dia telah memilih untuk merawat dirinya sendiri. Itupun sebab malam kejadian tu dia sukar melelapkan matanya, asyik batuk sahaja. Dan itulah punca rombakan jadual hidupnya bermula.

“Assalamu’alaikum, encik cari apa?”, seorang gadis menyapanya dari belakang. Syah berpaling, seketika memerhati raut wajah bertudung yang pegun menatapnya. Gadis itu biasa-biasa sahaja rupanya, namun senyuman yang terukir jelas lahir dari hati yang ikhlas. Seakan ada aura mesra yang menyelubungi suasana waktu itu.

“Wa’alaikumussalam, saya cari ubat batuk Cap Ibu dan Anak. Kat mana yer?”, Syah membalas pertanyaan itu sambil memerhati sekelilingnya kalau-kalau terlihat ubat berkenaan.

“Ubat tu ada kat sana encik.” Si gadis berjalan kearah yang dimaksudkan. Syah menurutinya sambil mengucapkan terima kasih. Sambil tersenyum, gadis itu berlalu terus ke ruang hadapan pintu. Syah memerhati dari jauh. Dilihatnya si gadis sedang membuka pintu buat seorang lelaki India yang membawa masuk barang-barang. “Supplier rupanya” , getus Syah sendirian. Gadis itu menyambut kedatangan si ‘Ane’ dengan senyuman, ucapan selamat yang mesra sambil membantu memindahkan sebahagian barang yang dibawa ke atas lantai. Ketika mengira bilangan barang yang diterima, si gadis berbual penuh adab, tidak pula ketawa tergedik-gedik walaupun ramah bertanya, manakala lelaki India itu tampak amat menghormatinya. Selesai kerja, si gadis mengucapkan terima kasih seraya membuka pintu walhal boleh saja lelaki India itu membukanya sendiri.

Sejurus kemudian, dengan senyuman yang masih bersisa dibibirnya, si gadis memunggah barang-barang yang diterima ke belakang. Cekap dan pantas lagaknya.

Syah berlalu ke kaunter untuk membuat pembayaran. Dilihatnya tiada sesiapa pun yang sedang bertugas di situ. Sementara menunggu, Syah membelek beberapa produk yang terpamer di sisi kaunter. Sejurus kemudian, kelihatan gadis tadi berjalan pantas ke arahnya, barangkali baru menyedari kelibat seseorang berdiri di hadapan kaunter pembayaran. Sambil menyika dahi dengan belakang tapak tangan, dia tersenyum menjalankan tugasnya. Syah akui, asyik sungguh si gadis dengan kerjanya selaku jurujual. Yang mengkagumkan, si gadis tak lekang dengan senyuman dan mesra melayan setiap pertanyaan pelanggan walaupun dalam masa yang sama dia sibuk di kaunter. Si gadis menyerahkan bungkusan plastik dan wang baki kepada Syah sambil mengucapkan terima kasih. Berhati-hati dia meletakkan wang baki di atas tapak tangan Syah, bimbang bersentuhan dengan yang Bukan Muhrim.

“Jumpa lagi, InsyaAllah,” si gadis menutur kata-kata terakhir. Hmmm, jarang benar jurujual melafazkan ayat sedemikian melainkan dia memang seorang yang senantiasa melazimi diri dengan mengingati Allah.

Daripada Abu Said al-Khudri R.A., Nabi S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya dunia adalah manis dan indah. Allah telah menjadikan kamu sebagai khalifah di dunia. Lalu, Allah melihat bagaimana kamu beramal." (HR. Muslim)

Sebaik keluar dari kedai, Syah berpaling dan memerhati dari jauh. Jelas si gadis begitu mesra melayan para pelanggan lain. Syah gusar, rasa tidak puas hati. Dia ingin menguji si gadis, apakah benar itu sifat semulajadinya atau sekadar etika kerja yang diarahkan oleh majikan supaya menghormati setiap pelanggan yang bertandang. Kembali dia memasuki kedai tersebut. Si gadis seperti biasa, tersenyum sambil bertanya soalan yang sama. Apabila diberitahu produk yang ingin dicari, si gadis keluar dari kaunter dan terus menunjukkan tempatnya sambil menerangkan beberapa pilihan lain yang terdapat di situ.

Syah sengaja bertanyakan pelbagai soalan, dari seremeh-remeh perkara hinggalah kepada persoalan yang agak mengelirukan. Terkial-kial juga si gadis menjawabnya. Namun begitu, tak pula dia menunjukkan riak-riak bosan atau terganggu malah sanggup pula bertanya pada teman yang lain untuk mendapatkan kepastian bagi setiap pertanyaan yang dilontarkan. Ternyata, si gadis benar-benar amanah dalam menguruskan dunianya, sentiasa bersungguh-sungguh melaksanakan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan. Syah gembira benar hari itu. Kesakitannya sedikit berkurangan dek keseronokan dapat menemui seorang gadis yang begitu perilakunya.

“Jumpa lagi, insyaAllah,” si gadis melafazkan ucapan yang sama sambil tersenyum.

“InsyaAllah, kita pasti bertemu lagi,” bisik Syah di dalam hatinya.

Semenjak hari itu, Syah pasti akan singgah melihat si dia biar pun sebentar setiap kali keluar bekerja. Si gadis pula, tidak akan pernah menyedari bahawa ada seseorang yang menyanjungi sifat Itqaan yang ada pada dirinya; bunga-bunga keikhlasan beramal yang hanya wujud dalam diri Para Mukhlisin. Dan amat sukar sebenarnya menjejaki golongan Mukhlisin di dunia akhir zaman ini. Cuma, Syah belum berani mendekati si dia. Dia teringat akan pesanan Rasulullah S.A.W:

Daripada Usamah bin Zaid R.A., Nabi S.A.W. bersabda: "Aku tidak meninggalkan selepasku suatu ujian yang lebih dahsyat daripada terpedayanya kaum lelaki terhadap kaum wanita." (HR. al-Bukhari & Muslim)

Syah panjatkan Istighfar. Dia berdoa moga perasaan yang melingkari dirinya saat ini datang dari Yang Maha Esa.

1 comment:

Anonymous said...

SUKAR JUGA UNTUK MELUAHKAN PERASAAN KALAU MACAM TUE.....APA YANG SYAH PERLU BUAT YER?