Dia hanyalah lelaki biasa sahaja. Bukan VIP, aristokrat, artis, golongan profesional atau usahawan. Mungkin, dia boleh dikelaskan sebagai seorang budayawan kerana sering melestarikan nilai-nilai Melayu dalam kehidupannya. Pekerjaannya pula hanyalah pemandu kereta kepada seorang ahli perniagaan dari Jepun dengan purata pendapatan sekitar RM1k++.
Keluarganya boleh tahan besar, dengan seorang isteri dan tujuh orang anak. Kesemua mereka mendiami rumah teres kos rendah yang disewa dari seorang pemilik rumah yang baik orangnya. Alhamdulillah, mereka tinggal dengan selesa dan harmoni. Walaupun ada saatnya konflik melanda, namun penat lelahnya dalam membangunkan jiwa setiap anggota keluarga dengan iman dan amal soleh selama ini telah berupaya menghalang segala permasalahan yang timbul dari berpanjangan.
Dia akur, kemewahan dunia semakin jauh dari gapaiannya. Dia sendiri pun sudah lama melupakan keindahan dunia kerana sedar, roh yang mendiami jasad kerdil itu terlalu kuat rindunya pada bumi akhirat; dunia abadi yang mana udaranya semakin dihirup semakin wangi baunya. Yang penting baginya sekarang ini adalah bagaimana caranya untuk memanfaatkan nikmat dunia yang menjadi miliknya buat membeli kelazatan hidup di negara abadi kelak.
Dengan pendapatan yang agak sederhana, dia mampu memiliki sebuah motosikal. Kenderaan itulah yang digunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja. Dia tidak mahu membawa pulang kereta milik syarikat itu meski pun dibenarkan berbuat demikian kerana memikirkan tanggungjawab dan amanah yang bakal digalasnya. Dia tak mahu menjadi sesetengah orang yang menyalahgunakan kenderaan syarikat untuk tujuan peribadi; balik kampung, bercuti, rewang, shopping dan yang seangkatan dengannya.
Biarlah dia susah, namun untuk mengeksploitasi sesuatu yang bukan hak miliknya demi melampiaskan kepuasan diri dan keluarga adalah antara perkara terlarang dalam kamus hidupnya. Kalau benar-benar perlu, contohnya untuk pulang ke kampung berhari raya, dia akan menyewa van sahaja.
Seorang rakannya, ahli perniagaan yang berjaya pernah menceritakan satu peristiwa yang sehingga kini akan membuatkan dirinya seolah-olah ditampar manakala jantungnya disentak-sentak setiap kali dia teringat akan kisah itu. Katanya, pada satu hari dia mendapat khabar yang kawannya sipemandu ini telah menyewa sebuah van untuk pulang ke kampung. Kebetulan, dia terserempak dengan sahabatnya itu di pertengahan jalan. Rasa simpati pantas menjalari sanubarinya sebaik melihat susuk van yang disewanya, model nissan lama dengan plat wa++++.
Segera dia melambai ke arah rakannya yang sedang memandu itu supaya memberhentikan kenderaan. Mereka pun berbual-bual sambil dia meninjau keadaan dalam van itu yang sesak dengan ahli keluarganya. Namun, pandangan matanya terpaku pada beberapa guni beras yang tersandar kemas di dalam van berkenaan.
Dihitungnya perlahan-lahan dalam hati, ada lapan guni semuanya. Dia musykil, kenapa banyak sangat? Dia ni nak meniaga kat kampung ke? Dia terus bertanya kepada sahabatnya perihal isu itu. Lantas, dengan cerianya dia menjawab, "Oh, beras tu! Aku nak bawak balik kampung, nak bagi orang miskin kat sana".
Nah, jawapan itulah yang diibaratkannya seperti penampar sulung yang dilayangkan terus ke mukanya. Manakan tidak, dia yang berjaya dalam bidang perniagaan pun tak pernah terlintas untuk menginfakkan hartanya sedemikian rupa sedangkan sahabatnya yang 'biasa' itu, dengan pendapatan dan tanggungan yang tak seimbang itu, 'luarbiasa' sekali perilakunya.
Inilah dia salah seorang personaliti tersembunyi yang jauh lebih masyhur di sisi Allah jika dibandingkan dengan personaliti dunia yang menghiasi wajah media selama ini. Pada aku, dia adalah salah seorang individu terkaya di dunia ini.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W bersabda: "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar ialah kekayaan jiwa." (HR. Al-Bukhari & Muslim)
2 comments:
A nice story. Subhanallah.
Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan berkah-Nya. Semoga beliau tetap istiqomah di jalan Allah.
Semoga kita bisa mengambil hikmah dan mengikuti teladannya. insya Allah.
InsyaAllah..moga dia akan tetap istiqamah dalam berbakti...
Post a Comment