Tuesday, September 2, 2008

SYUKUR ALHAMDULILLAH!

Hujung minggu lepas memang memenatkan. Aku ngan odek sibuk kemas bilik bacaan, habis semua barang-barang lama dalam kontena kitorang punggah. Segala macam nota-nota belajar, buku rujukan, karya-karya seni yang dah lama bertakung dalam kotak-kotak aku keluarkan....pastu tapis yang mana masih relevan dengan kehidupan sekarang dan akan datang. Hasilnya, 3 plastik sampah hitam + biru penuh dengan kertas A4 dan komik2 lama yang rasanya dah tiba masa untuk dibakul sampahkan. Punyala asyik mengemas sampai tak sedar dah masuk Zohor.

Petang lepas jemaah Asar, odek tetiba bagi cadangan kluar makan 'western food' kat luar. Ai...ingat aku sorang jer yang terfikir camtu....sekali frekuensi leh sama la pulak. Aku pun setuju je la, sebab memang dah lama sangat kitorang tak makan malam kat luar. Bincang punya bincang, aku set masa lepas maghrib dan lokasinya di sekitar Kampung Pandan. Odek cakap, kawan dia kata kat situ makanan barat dia best. Ok gak tu, tak la jauh sangat dari rumah, apa2 hal boleh singgah rumah Pak Lang sebab dorang pun duduk dekat situ jer.

Selesai solat jemaah Maghrib, aku, odek, anas, mimi dan farhan pun lekas bingkas dan bersiap-siap nak ke sana. Sebelum keluar, aku pesan kat odek suruh pastikan semuanya ok. Lepas tue, kitorang semua pun bertolak ke destinasi yang telah dirancang buat mengisi perut yang dah lama berkeroncong. Alhamdulillah, jalan ok....lancar jer. Tak sampai 10 minit dah pun sampai. Anas dan mimi, dari tadi lagi dah bincang nak minum apa....carrot susu. Farhan lak, tak nak minum apa-apa, cuma nak minum milo ais jer. Tak nak minum apa camtu. Tapi yang pastinya, suma nak makan 'chicken chop'. Aku jer yang lain skit, nak pekena 'grilled chicken' yang sememangnya lama benar tak dijamah. :)

Sampai jer, aku cari 'seat' yang agak selesa berhampiran dengan kipas, juga tidak terlalu dekat dengan jalan raya. Takut pencemaran udara dan bunyi, tapi malam tu kenderaan pun tak banyak sangat. Mungkin sebab masing-masing lepak kat rumah menanti pengumuman berpuasa oleh Penyimpan Mohor Besar. Tadi pun aku terfikir gak, esok puasa ke tak? Odek kata jangan risau, nanti leh 'call' rumah tanya pasal tue. Cumanya, aku rasa cam esok tak jadi puasa lagi....so belanja makan malam nie boleh kira cam nak meraikan kedatangan Ramadhan la. (Pandaila hang).

Sambil-sambil menunggu siapnya makanan yang kitorang 'order' tadi, aku pun bukak majlis malam tue dengan perbincangan mengenai kehadiran Ramadhan. Cerita serba sedikit tentang kelebihannya, nikmat yang mengiringinya dan janji-janji Allah buat mereka yang berjaya sepanjang 'training course' ini. Banyak gak soalan dilontarkan pasal bulan puasa nie, tapi tak semuanya terjawab sebab....makanan + minuman dah pun sampai. Hmmm...sedap betul bau kuah cendawan lada hitam ni!

Alhamdulillah, makanan malam ni memang mengujakan. Mungkin sebab dah lama tak rasa ayam panggang kut. Odek pun setuju ngan aku, cuma dia komen kuah 'chicken chop' tu manis sikit. Alahai odek, makan kuah manis banyak pun takpe, biar senyuman odek bertambah-tambah manisnya. :P

Tengah asyik layan borak ngan dorang semua, tetiba jer muncul mamat 'foreigner' mana ntah depan aku. Lepas bagi salam, dia perkenalkan diri dan terangkan serba-sedikit tentang tujuannya. Aku tengok muka mamat tu dan perhatikan penampilannya. Orangnya kemas, dengan serban yang rapi terlilit dikepala....wajahnya manis dengan senyuman. Aku dah boleh agak dah, nie mesti nak minta derma ikhlas. Kitorang pun berbual panjang tentang diri masing-masing, dia rupanya dari Afghanistan dan datang ke Malaysia bersama rakan-rakannya untuk mengumpul dana buat anak-anak yatim di sana. Dia pun tunjukkan pada aku gambar-gambar saudara-saudara Islam kita yang sedang berjuang meneruskan sisa-sisa kehidupan. Bila aku tanya keadaan terkini, dia katakan peperangan masih lagi berlaku dan tak akan pernah berhenti selagi Amerika dan talibarutnya masih berkampung di negara mereka. Jelasnya lagi, 'anak mata' Kandahar tak pernah tidur.

Entahla, aku bab-bab nie memang cukup tersentuh. Mentelah lagi, melihatkan saudara aku ni meminta atas nama Allah untuk membantu saudara kita di sana. Yang membuatkan aku lagi terharu, bila dia mendoakan semoga aku bisa bertemu Rasulullah S.A.W. atas sadaqah yang aku hulurkan. Pergh.....malulah aku kalau pertolongan tak seberapa ini nak ditukarkan dengan temujanji bersama Baginda. Hakikatnya, tak perlulah merayu aku sedemikian rupa sebab hati aku yakin saudaraku ini tak berbohong. Sebabnya mudah, aku dapat melihat sinar wajahnya yang penuh keazaman, tanda-tanda soleh yang jelas memagari indah penampilannya. Malah odek pun sempat menyampuk, bersih betul kuku jari jemarinya.

Aku pun ajak dia pergi jauh sikit dari khalayak manusia yang semakin memenuhi 'food court'. Entahlah, sebaik puasa diumumkan esok (aku sempat dengar kat tv masa makan tadi) makin ramai pulak orang datang makan kat situ. Nampaknya, malam nie tak sempatla jemaah tarawih kat masjid. Takpe, jumpa brother afghanistan nie pun dah kira peluang baik untuk beribadah. Aku bagi kat dia sumbangan yang aku mampu. Dia tersenyum, sambil mengucapkan terima kasih. Tanpa segan-silu, dia terus memeluk aku sambil melontarkan doa moga aku bahagia dan dapat bertemu Baginda S.A.W kelak. FUh....syahdu betul malam tue. Aku lak dah bertahun-tahun tak pernah kena peluk ngan sesapa pun. Dulu, ada gak arwah abah peluk aku bila dia nampak anak dia ni kusut satu macam jer. Lepas bersalaman, aku pun berpaling melihat odek. Bila aku pusing balik, mamat ni dah hilang entah kemana. Aih....cepat benar dia berjalan, sekejap jer kelibat jubah putihnya tak terjangkau mata mencari? Entahlah, maleh aku nak fikir panjang, terus aku ajak odek dan lainnya balik.

Sepanjang perjalanan, odek bercerita tentang lelaki berjubah tue. Katanya, hati tak rasa terganggu pun dengan kehadiran mamat tue. Bukannya apa, selalunya kalau orang mai mintak derma ni, hati kadang-kadang rasa tak tenang. Macam-macam benda buruk melintas; orang menyamarla, penipu la..itu yang nak periksa semua dokumen yang dia bawak tue. Cuma tadi, tak timbul langsung fikiran negatif dan sangkaan buruk. Aku senyum jer sebab aku pun miliki perasaan yang sama. Aku yakin bangat, dia benar-benar berjihad atas jalan Allah.

Kitorang sampai rumah dalam pukul 9 lebih. Aku tanya farhan, seronok tak malam nie? Dia jawab best sebab dapat makan chicken chop. :P Alhamdulillah, semuanya gembira. Tapi, sebaik saja tiba kat depan rumah....Anas tanya kat odek, "bau apa nie?" Aku tengok muka odek terus cemas, segera dia bukak pagar rumah dan terus berlari masuk. Aku dengar odek sedikit menjerit sebut nama Allah. Aku pun panik gak, cepat-cepat masuk ke dalam. Bau terbakar memenuhi segenap penjuru rumah. Aku tengok muka odek pucat. "Kenapa?" Aku tanya odek...cemas. "Api gas tak tutup". MasyaAllah...tak tutup api gas selama dua jam lebih. Biar betul odek? Bukannya apa, rumah kawan aku dulu terbakar teruk sebab dia terlupa tutup api gas semasa memasak. Itu pun sekejap jer. Dia yang kebetulan ada kat rumah pun boleh jadi insiden buruk tue, apatah lagi yang keluar pi jalan tinggal rumah kosong camtue jer.

Aku tengok dapur. Hangus. Odek kata tadi dia tinggal api besar. Ish.....tak hilang lagi kecut perut memikirkan benda nie. Kat luar angin memang kuat, hari tu pun kuat sangat tiupannya sampai leh tercabut pelapik tingkap kat dapur. Tapi tu la, alhamdulillah....tak jadi apa-apa yang tak baik malam tue. Tak berlaku apa-apa pun yang tak diingini walhal sumber nak mencetuskan kebakaran besar berlambak kat dapur tue. Alhamdulillah ya Allah.....semuanya terselamat dengan izinmu. Terus aku teringat pasal mamat tadi.....alhamdulillah ya Allah.

No comments: