Sunday, August 3, 2008

SUNNAH YANG DIPINGGIRKAN! (2)

Sekali imbas, pembentukan kerajaan Malaysia ini tiada cacat-celanya kerana ia berdiri atas kehendak rakyat. Ketepikan dulu soal tegaknya Khilafah Islamiyah 'ala minhaj nubuwwah walaupun itulah cita-cita kita umat Islam. Bukan kerana merasakan ia mustahil, akan tetapi buat masa ini prosesnya sangat sulit untuk direalisasikan kerana kesalahan kita sendiri.

Cuma, jangan kambus keyakinan bahawa masanya akan tiba kerana terhapusnya sistem sekularisme, demokrasi atau apa sahaja corak pemerintahan duniawi selain Islam adalah janji Allah dan Rasulnya. Kita pun tidak seharusnya menunggu tanpa usaha dan alhamdulillah, gerakan-gerakan menzahirkannya semakin rancak sejak kebelakangan ini.

Kembali kepada isu asal, kita dapati masalah bermula sebaik sahaja kerajaan yang ditubuhkan ini mengambil pendekatan yang meminggirkan ajaran Islam dalam menguruskan negara. Jika kita teliti sejarah lampau, matlamat utama memerdekakan negara ini dari cengkaman penjajah adalah untuk membela agama, bangsa dan negara itu sendiri.

Atas dasar ini, rakyat tidak kira latarbelakang dan pegangan bersatu bagi menuntut kebebasan. Pada awal-awal pembentukan dan pembangunan kerajaan, dengan mengambil kira kepentingan warga pribumi juga kewujudan pembangkang mengikut kontrak sosial yang telah dipersetujui, pelbagai usaha dilakukan untuk membela rakyat menerusi pemberian pelbagai jenis bantuan dan subsidi. Namun begitu, semakin maju negara ini, semakin jelas kedengaran saranan untuk memansuhkan pemberian subsidi ini kepada rakyat.

Kita tidak menafikan ada baiknya cadangan itu pada beberapa jenis subsidi sahaja (itupun jika ada) dengan syarat jelas terbukti wujudnya pembaziran sepanjang proses itu dijalankan. Pun begitu, adalah lebih baik dikaji semula mekanismenya dari menghapus terus kerana asal kewujudan subsidi ini adalah untuk membantu meringankan masalah rakyat yang benar-benar bermasalah. Namun soalnya sekarang ini, cadangan untuk menarik semula pemberian subsidi seperti minyak, elektrik dan air atas pelbagai alasan dangkal adalah satu bentuk kezaliman yang nyata.

Baru-baru ini, dalam suatu forum di majlis pertemuan bersama penuntut IPT, jelas berkumandang idea bodoh ini dari seorang ahli panel untuk menghapuskan terus pemberian subsidi ini pada rakyat. Baginya, ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dalam memajukan kehidupan rakyat dimana wang yang berjaya 'diselamatkan' ini dapat disalurkan kepada sektor pendidikan, pengangkutan awam, perumahan awam dan lain-lain lagi sekaligus mengelakkan pembaziran. Seolah-olah selama ini, sumber kewangan bagi tujuan subsidi datang dari harta milik keluarga mereka. Walhal, harta yang mereka ingin tahan pemberiannya itu adalah hak milik rakyat.

Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].

Berilah apa sahaja alasan yang dirasakan logik, namun cubaan untuk 'menghanguskan' segala bentuk bantuan kepada rakyat adalah bermaksud meminggirkan sunnah Rasulullah S.A.W dalam mentadbir kerajaan. Kita harus sedar, di dalam Islam, ada beberapa aset adalah hak milik semua rakyat dimana Allah Azza Wajalla membenarkan setiap individu ‘memanfaatkannya’ tanpa sesiapapun ‘memilikinya’ secara individu. Ini jelas digariskan oleh Islam bagi tiga kumpulan sumber yang berikut:-

(1) Keperluan awam yang mana masyarakat bergantung kepadanya di dalam menjalani kehidupan.

(2) Aset atau sumber alam semulajadi yang sifat kejadiannya tidak membolehkan ia dimiliki oleh individu secara perseorangan seperti sungai, tasik, laut, terusan, jalan raya, tempat letak kereta awam, masjid, musolla, Mina, Arafah, Muzdalifah dan seumpamanya.

(3) Bahan galian atau mineral yang banyak atau berlebih-lebihan yang tidak putus bekalannya seperti petroleum, gas, emas, bijih timah dan yang seumpamanya.

Dalam bahasa yang mudah, rakyat bebas menggunakan kesemua sumber ini tanpa sebarang caj keuntungan. Ini jelas diungkapkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadith yang sama seperti di atas tetapi diriwayatkan oleh Anas R.A dengan tambahan : “wa tsamanuhu haram” bermaksud "harganya adalah haram".

Oleh kerana itu, kerajaan 'dulu-dulu' atas dasar kebajikan menubuhkan syarikat miliknya sendiri bagi menguruskan sumber-sumber tersebut manakala rakyat bersama-sama menyumbang kos pengurusannya. Akan tetapi, dalam tempoh 50 tahun kemerdekaan negara, 'trend' ini perlahan-lahan berubah dimana proses penswastaan telah mengambil tempat hinggakan rakyat terpaksa menanggung dua kos: penyelenggaraan (nyata) dan keuntungan (tersembunyi) kepada syarikat swasta yang mengendalikan pengagihan sumber ini sedangkan ia jelas haram dalam Islam.

Realitinya, penswastaan berlaku bukan kerana ianya satu keperluan, sebaliknya kerana kegagalan kerajaan mentadbir sumber kewangan GLC yang diperoleh dari rakyat menerusi kutipan cukai dan zakat dengan baik sehingga berlakunya pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Demi menutup lubang-lubang ini dan menyelamatkan kepentingan masing-masing, penswastaan mengambil tempat sehinggakan kerajaan yang kita lantik sekarang ini tak mampu bersuara untuk meminta pengurangan 'keuntungan' dari syarikat-syarikat swasta berkenaan.

Kita masih lagi menanti perubahan yang akan berlaku selanjutnya. Meskipun pemberian subsidi ini masih lagi berjalan seperti biasa, namun pengurangannya secara mendadak memberi kesan yang amat mendalam kepada rakyat. Mungkin, sekarang ini ia hanya dikurangkan tetapi, apa yang ditakuti adalah penghapusannya dalam sistem pentadbiran kerajaan kerana 'cakap-cakap' mengenainya jelas kedengaran. Ia bukan lagi satu kiasan kerana banyak program debat, forum dan seminar yang dianjurkan sejak kebelakangan ini membincangkannya sehinggakan ada di kalangan umat Islam bersetuju dengan gagasan menghapuskan pemberian subsidi dan bantuan ini atas nama kebajikan dan keadilan untuk rakyat.

Manusia, bila ia lari dari sunnah Allah dan Rasulnya, impaknya bukan sahaja kepada diri sendiri akan tetapi ia turut memberi kesan pada masyarakat sekelilingnya. Amat benarlah janji Allah, bila satu kaum menolak undang-undangNya, akan ada kaum lain yang bangun mengambilalih tanggungjawab itu. Jauh dalam hati ini, aku dapat merasakan kekuatan Melayu Islam semakin hari semakin terhakis. Dan pola ini akan berterusan jika tiada sebarang agenda dan langkah-langkah yang mantap untuk memperbaikinya.

Pun begitu, aku bukanlah seorang nasionalis untuk memperjuangkan Bangsa Melayu....kerana....aku rasa amat bangga bila melihat dalam kesamaran dan kekusutan ini, saudara baru Islam atau golongan Mualaf telah memainkan peranan mereka yang tersendiri. Menyedari kelompok mereka yang minoriti, mereka menyerahkan soal politik kepada kita Melayu Muslim yang jauh lebih ramai untuk berusaha mewujudkan negara Islam sedang mereka secara konsisten berusaha menyebar luas ajaran Islam dan memberi kesedaran betapa indahnya Islam kepada bangsa mereka. Soalnya, berapa ramai di antara kita Melayu Muslim yang benar-benar serius dalam membangunkan negara Islam ini?

No comments: