Sunday, August 3, 2008

KERAJAAN RAMBUTAN

Farihin tersengih-sengih kat pintu. Lambat jer dia melangkah masuk ke dalam kelas. Musykil gak aku dibuatnya. Tak macam selalu. Biasanya, kalau dia sampai jer kat bawah, kita dah dapat dengar bunyi sandalnya menapak anak-anak tangga. Mana taknya, orang melangkah cermat, dia berlari pecut memanjat tangga. Elok sampai dipintu, nah....bagi salam punya la kuat. Kebiasaannya begitu, cuma malam ni ada 'something wrong some where'. Aku jeling-jeling gak kat tangan dia, ada beg plastik besar warna putih. Sengaja dia sorok kat belakang badan, kira nak buat kejutan la tu. :)

"Nah Ustaz, mak kasi", katanya sambil menghulur bungkusan tersebut.

"Apa ni?" Soalku sambil membuka simpulan ikatan plastik berkenaan.

"Rambutan, mak ambik kat kampung", jawabnya sambil menggaru kepala separuh botak yang tak gatal. Kembang-kempis hidungnya sewaktu menceritakan perihal buah yang dipetik dari pokok milik datuknya masa balik kampung hujung minggu yang lalu.

"Alhamdulillah.....nanti sebelum solat jemaah kita makan sama-sama ngan kawan-kawan, ok?"

Dia mengangguk kepala tanda setuju. Sesekali, dia menggigit jari sambil memandang ke arah rakan-rakan yang lain. Segera aku arahkan para pelajar berterima kasih padanya. Amboi, bertambah kerap la pulak kembang-kempis hidungnya. Alahai Farihin, syukran jazilan!

Daripada Uqbah bin Amir al-Juhani R.A, Nabi S.A.W. bersabda: "Setiap orang berada di bawah naungan amalan sedekahnya sehinggalah diadili di antara manusia (pada hari kiamat)" (HR. Ahmad)

Buah rambutan yang Farihin bawa memang manis...sesuai dengan warna merah hati kulitnya. Teringat cerita seorang guru tentang buah rambutan ini. Katanya, kita sering diajar malah jadi maklum benar akan kelebihan pokok kelapa dimana setiap bahagiannya amat berguna dalam kehidupan manusia. Senang cerita, dalam kelompok tumbuhan, kerajaan kelapa sememangnya menjuarai carta pokok pelbagai guna sehingga kita terlupa mencanangkan kelebihan pokok lainnya. Lalu, apa lebihnya kerajaan rambutan ini?

Membandingkannya dengan pohon kelapa yang tinggi membelah awan memang bukan satu perkara yang wajar. Samalah dalam menilai jasa seseorang yang jauh berharta dan berpengaruh dengan golongan sederhana ke bawah bukanlah satu tindakan yang munasabah kerana masing-masing memiliki keupayaan tersendiri. Cumanya, kerajaan rambutan..jika diamati....amat peramah dengan manusia. :)

Yelah, kita bebas untuk menikmati buahnya tanpa perlu bersusah payah. Petik sahaja gugusan rambutan yang layut di hujung dahan, dah boleh merasai kelazatannya. Kalau ada buah kat tempat tinggi pun, tak susah sangat nak capainya...'ada beran' (meminjam istilah Bang-Bang Boom yang merosakkan bahasa sebenarnya :P) boleh jer panjat dahannya atau guna jer batang penyapu daun kering buat merengkuh buah yang agak jauh dari gapaian (ni satu lagi, salah guna peralatan!).

Pohonnya yang sederhana tinggi dan rendang itu juga turut memberi keselesaan pada kita berteduh di bawahnya sambil menikmati manis dan masam produknya. Yang menarik lagi, perhatikan buah rambutan itu sendiri....sudahlah ia membumbungi manusia yang mengunjungi kerajaannya dari terik mentari, ia juga turut melindungi pengunjung kecil seperti semut hitam dan kerengga dari tiupan angin dan hujan lebat dengan bulu-bulu romanya. Turunla hujan lebat mana pun, puak serangga nie selamba badak jer menikmati manisnya madu buah hasil fotosintesis nie.

Begitulah mesranya kerajaan rambutan ini. Walaupun ia tidak sehebat raja durian atau semewah delima dalam kategori tumbuhan, ia masih lagi memberi sumbangan sesuai dengan keupayaan dirinya. Yang lebih mengkagumkan, sekiranya kita menikmati buah rambutan ini dengan memetiknya dari pohon, lebih mudah bagi kita menentukan mana satu buah yang manis dan masam hanya dengan memerhatikan kehadiran semut hitam di permukaan kulitnya. Lagi banyak semut hitam, lagi manis rasanya. Kalau banyak kerengga lak, tak payah la korang susah-susah panjat...sebab biasanya....buah kat dahan tu rasa masam-masam manis gitu.

Nah! Kerajaan rambutan jujur dalam menjalin hubungan dengan tetamunya. Tidak seperti sesetengah manusia, sentiasa memikirkan taktik dan teknik untuk menipu dan berlaku khianat demi mengaut keuntungan duniawi. Berpura-pura tersenyum manis sedang hati bersalut dendam kesumat yang tak pernah padam. Tak percaya? Tanyalah orang-orang politik.

No comments: