Wednesday, January 30, 2008

BILA HATI BERBICARA (1)

Asma melihat jam ditangan kanannya. Tepat pukul 2.00 petang. Kembali dia melontar pandangan ke penjuru bangunan akademik, mengintai kelibat seseorang yang sudah 20 minit dinantinya. Janjinya pukul 1.40 petang di kantin sekolah. Beria-ria benar dia berpesan pada Syah agar tak lupa memberitahu Amar supaya bertemunya pada sekian waktu dan tempat.

“Syah, jangan lupa pesan kat Amar….aku nak jumpa dia petang ni. Ni kes serius ni, kau jangan lupa pesan kat dia ek.” Asma memperingatkan Syah buat kali yang kelima.

“Weh, aku tahu la…yang kau nak jumpa dia sangat apasal?” tanya Syah ingin tahu.

“Adala, ini kes orang perempuan….kau tak payah sibuklah.” Asma berlalu meninggalkan Syah yang terpinga-pinga.

Dia yakin, tentu ada sesuatu yang menghalang Amar untuk bertemunya pada waktu yang telah ditetapkan. Maklumlah, bukan setahun dua dia mengenali pelajar lelaki itu. Sudah hampir 8 tahun mereka berkawan….sejak dari sekolah rendah lagi. Padanya, Amar bukanlah lelaki yang suka membiarkan sahabatnya tertunggu-tunggu. Dek kerana itulah dia sanggup menanti dengan penuh sabar kerana faham benar sahabatnya itu pasti mempunyai alasan yang kukuh lagi 'munasabah' jika terlewat. Segera dia teringat akan pesanan Ustazah Humairah lewat Kelas Usrah semalam;


Daripada Abu Said Al-Khudri R.A., Nabi S.A.W. bersabda: "Seseorang itu tidak dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sabar." (HR Al-Bukhari)

“Ma….lama lagi ke? Jadi ke tidak dia datang ni?” Asma tersedar dari lamunan. Dia terlupa kehadiran Sara disisinya sejak dari tadi.

Sara adalah rakan sekelasnya ditingkatan 5 Abu Bakar. Perkenalan mereka bermula sejak permulaan penggal persekolahan kerana sebelum ini, ketika berada disekolah menengah rendah, masing-masing belajar di kelas yang berlainan. Kebetulan, rumah Sara dan Asma hanya selang 2 lorong sahaja dan itu turut menyebabkan mereka semakin rapat. Mereka seringkali pergi dan pulang sekolah bersama-sama. Asma memang menghargai persahabatan yang dihulurkan Sara kerana dia senang dengan perwatakan Sara. Baginya, Sara adalah sahabat yang sentiasa terbuka dalam berbicara dan mudah berkongsi pendapat. Mentelah pula, Sara seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan ini secara tidak langsung merangsang Asma untuk bersaing dengannya.

“Jangan risau…aku yakin dia pasti datang,” balas Asma sambil memeluk bahu Sara.

Sebenarnya, pertemuan yang dirancangnya ini pun semata-mata kerana Sara. Pagi tadi, Sara meluahkan sesuatu yang mengejutkan dirinya. Sara mohon pertolongan untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya. Ketika itulah dia teringat Amar, sahabat lelaki yang sentiasa dihatinya. Sentiasa dihati? Elok ketepikan dulu perkara itu sebab topik utama sekarang ini adalah untuk membantu Sara.

“Aku malulah nak ceritakan masalah ni kat dia Ma. Aku bukannya kenal dia macam ko. Nanti tak pasal-pasal dia fikir bukan-bukan kat aku.” Ada garis kerisauan diraut wajahnya yang manis itu.

Asma tersenyum. “Aku kenal dia dah lama Sara. Tak pernah lagi dia mengecewakan kepercayaan aku.”

“Ko…. suka kat dia ke Ma?” Sara menduga, sengaja dia mempermainkan Asma.

“Ala….suka pun tak salahkan.” Asma menghangatkan suasana sambil ketawa. Dia mengeletek Sara yang turut ketawa.

“Assalamua’laikum!” Terpempan seketika Sara dan Asma mendengar salam yang dihulurkan.

“Waa’laikumussalam”, serentak mereka menjawab. Asma berpaling, dia tersenyum gembira kerana orang yang dinantinya telah tiba.

“Dah lama tunggu? Maaflah, tadi solat jemaah Zohor. Ni….dah solat ke?” Amar melempar soalan cepumas pada kedua-duanya.


No comments: