Tuesday, September 2, 2008

JIWA YANG DITINGGALKAN

Kebosanan memanglah termasuk dalam kelompok musuh utama manusia. Sebabnya, bosan tidak pernah mengajar manusia untuk mencari penyelesaian yang berfaedah. Kebanyakan jiwa yang bosan, akan cenderung untuk menghiasi ruang kosong itu dengan segala macam aktiviti 'lagha'. Jarang benar kita mendengar orang yang berjaya memberitahu 'kebosanan' telah mendorongnya untuk mencipta sejarah. Kalau pun ada yang berkata sedemikian, ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana dia tersilap dalam menggunapakai perkataan bosan itu sendiri buat menterjemahkan apa yang terlintas dalam hati dan fikirannya.

Aku teringat kisah umat Nabi Musa A.S. bilamana mereka ditinggalkan selama 40 hari tatkala Baginda dijemput Allah untuk menerima Kitab Taurat. Sebahagian besar dari mereka dihinggapi rasa bosan dalam menunggu kepulangan Baginda. Bagi mengekang gejolak jiwa yang kekosongan itu, mereka telah melakukan syirik dengan menyembah lembu emas hasil pertukangan dan tempaan Samiri.

Lembu yang dikatakan mampu bereaksi dan berbicara itu telah mengubati jiwa tandus mereka sekaligus menjadi alat perantaraan buat menyembah Rabbul Izzati. Hasilnya, ramai yang telah disesatkan hanya kerana melayani kerenah 'bosan' yang bermaharajalela dalam diri masing-masing.

Sekarang, cuba bayangkan sudah berapa lama Rasulullah S.A.W meninggalkan kita? Sudah 1429 tahun sela masanya dan dalam tempoh itu, kita dapat saksikan pelbagai jenis bentuk dan wajah kekalutan jua kekufuran yang terpacul di khalayak umat Islam darsawarsa ini. Sungguh, ini bukan perkara main-main atau cecehan orang tua nyanyuk yang syok sendiri. Semakin lama semakin jelas ia melimpah dari bejana maksiat yang dulunya tersembunyi di bawah timbunan kota batu ini.

Rata-rata pelaku maksiat ini bila ditanya akan menyalahkan rasa bosan mereka. Bosanlah yang telah menyebabkan mereka untuk lari dari rumah. Bosanlah yang menggamit mereka untuk meneguk arak. Bosanlah yang mendorong mereka untuk merasai kehangatan ranjang. Bosanlah yang membelai nafsu untuk mencuba pelbagai jenis pil khayal buat melupai dunia gelap masing-masing. Bosanlah yang memintal mati tali jihad buat merubah segala macam kekusutan dalam masyarakat.

Penangan bosan ini amat hebat sehinggakan manusia boleh saja menyamakan Islam dengan kepercayaan lain. Sebabnya, bosan melihat tingkahlaku umat Islam yang buruk perilakunya menyebabkan mereka berpendapat Islam dan agama lain sama sahaja. Malah, ada yang bosan dengan peraturan Islam memilih untuk berlepas diri dari berpaut pada tali Allah.

Memang benarlah, jiwa yang ditinggalkan akan sentiasa tercari-cari tempat untuk berteduh. Dan sepanjang pencarian itu, ramai yang tersilap dalam memilih dedaun buat menganyam bumbung rumahnya. Ada yang percaya angkasa raya dunia sudah memadai buat naungan. Mereka rasa bebas berbaring di bawah langit yang terbuka luas tak terbatas daripada berada di dalam rumah yang berdiri atas 5 tiang seri, yang dindingnya dibatasi perasaan malu, yang udaranya ditapis dengan 'ionizer' halalan toyyiban, yang anak tangganya cukup-cukup buat menapak ke ruang utamanya tanpa pembaziran batu marmar dan kayu jati.

Kebosanan itu memang satu penyakit yang menakutkan. Penyakit yang boleh saja bermutasi seiring dengan peralihan tahun dan pacuan masa yang tak pernah berpaling. Kita pula terpaksa menelan hakikat bahawa kecelaruan ini akan terus berlarutan dan merebak persis epidemik yang sukar dibendung. Masalahnya, bukan tiada penawar untuk menyekat penularan ini. Cumanya, kita masih tercari-cari siapakah yang akan merancakkan penggunaannya dimuka bumi ini. Kita masih menunggu golongan manakah yang mampu untuk menyebar luaskan penawar tinggalan Baginda S.A.W sepanjang 1429 tahun ini?

Berbalik kepada diri sendiri, kenapa sering timbul rasa malas untuk mendidik diri? Bilakah agaknya aku yang 'banyak cakap' ini akan berupaya menendang jauh amalan dosa membelenggu jiwa dengan iman yang sejak kebelakangan ini amplitudnya 'fluctuate' meski sudah 31 tahun usianya? Bukankah sepatutnya dengan umur sebegitu, graf lurusnya semakin meningkat? Adakah jiwa aku pun bakal ditinggalkan dek dosa aku sendiri? Na'uzubillahi min zalik.

No comments: