Tuesday, September 9, 2008

KISAH RAMADHAN INI

Ramadhan sudah 10 hari berlalu. Sedar tak sedar jer. Apapun, syukur sebab masih mampu berpuasa dengan izinNya, takde rasa nak demam ker....tak larat ker....harap2nya sihatlah sampai ke penghujung Ramadhan. Keje pun sederhana je dalam bulan puasa ni...masing2 nampaknya lebih banyak melayan blues orang kampung. Maklumlah, oksigen dah makin kurang....so, jalan penyelesaiannya adalah berhibernasi di ceruk rantau yang tak diketahui manusia lainnya. Weh! Tidur memang la ibadah tapi bantai tido waktu keje bukan ibadah namanya, tu dah jadi aktiviti haram jadah. Kat opis ni pun, ada masanya lagu-lagu raya dah mula berkumandang. Aisey....memang tangkap syahdu betul la korang nie. :P

Semalam, aku rancang nak pegi bayar loan kereta kat KL Sentral. Lepas je solat Zohor, terus gerak ke sana tapi sebelum tu, aku gi check duit dulu dalam ATM, nak pastikan betul2 ada duit buat lunaskan hutang bulan nie. Nak dijadikan cerita, sebaik sahaja aku kluar dari pintu kaca Dataran Maybank ni, ada la satu mamat India (dalam lingkungan 20-an) kejar aku dari belakang. Memula konfius gak, sapa dia ni? Nak kata kenal memang tak kenal pun. Aku perati betul-betul, orangnya bermisai, muka cam budak2 skit dengan calit merah melintang kat dahi. Pakaiannya kemas, lengkap dengan aksesori asas seperti jam dan telefon bimbit. Cumanya, raut wajah dia cam ada problem la. Sugul. Tapi takpe, jangan sangka buruk. Aku pun berhenti tunggu dia mampir.

"Abang, sori bang. Saya bukan orang jahat bang. Saya Chandran, saya bukan nak tipu abang. Saya dari Johor bang, saya datang untuk interbiu kat Mid Valley. Tadi saya singgah kat kuil sini (memang ada kuil pun kat depan DM ni) saya pun tak tahu itu tiba-tiba saya punya dompet sama saya punya buku bank dengan duit suma sudah hilang bang, kena curi. Bla...bla....bla.... dan seterusnya dia menyambung cerita manakala aku pula menjadi pendengar setia di bawah terik mentari yang sedang membahang petang tu.

Rupanya, dia punya dompet sama itu beg, satu kali sudah kena curi sama sapa tara tau la. Itu pasalla dia manyak sedih lagi mau pegi interbiu tara wang. Bila dia mau kluar itu wang kalu dari bank, itu officer bank cakap kasi satu kali bikin itu repot polis dulu, lepas itu pegi PJ sana buat ic copy dulu bawa mari sini baru boleh angkat itu wang dari lu punya akaun. Dia sudah pegi itu pendaftaran sana PJ punya tempat, sana punya worang cakap "Macha, lu tarak baca itu notis ka kalu satu kali hilang, itu RM 110 kasi angkat mari baru boleh buat IC". Itu pasal la dia mau minta tolong sama aku angkat mari itu RM 110 kasi pinjam sama dia, nanti dia janji ini petang aaa...sebelum pukul 4.30 itu wang sudah kasi angkat mari kalu bayar sama aku dalam bank punya akaun. Fuh, berapa banyak "angkat mari kalu", ini macam kalu aku pun boleh pening dengar crita ini worang.

Aku pun mendengar dengan penuh perhatian masalahnya, sampai meleleh air mata dia menceritakan insiden yang sedang dilalui. Dia cakap, dia dah minta tolong ramai orang tetapi tak seorang pun yang percaya. Malah, masa dia minta pertolongan dari bangsanya sendiri, dia siap kena marah lagi depan orang ramai. Ish...ish...ish, kesian sungguh aku tengok dia ni. Air mata dia masih lagi tak berhenti merembes. Dia kata, mungkin sebab itulah Tuhan Allah temukan aku dengan dia sebab dia nampak aku nie macam orang yang baik-baik, boleh meminjamkannya RM110. Dia siap tunjuk lagi laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Bangsar. Habihla ditunjukkannya tarikh laporan, alamat rumahnya, no. ic. segalanya yang tercatat kat atas report tu. Siap suruh aku tulis lagi semuanya kalau aku tak percaya kat dia.

Ya Allah, ujian ini seharusnya bagaimana ditangani? Aku bukannya apa, bila mohon pertolongan atas nama Allah ni, bisa lembut hatinya. Namun begitu, Islam tak pernah ajar umatnya jadi orang yang lurus bendul. Wajib guna iman dan akal bila berdepan dengan segala macam buah silat duniawi. Dan aku memang nak tolong dia, sebab berkali-kali katanya dia tak akan sanggup memalukan bangsanya sendiri dengan mengemis sebegini melainkan kerana terdesak. Berkali-kali juga dia menyebut Tuhan Allah untuk meraih bantuan aku, cumanya, pertolongan aku bersulam syarat.

"Abang memang nak tolong." Aku tengok wajah dia kembali berseri dengan senyuman.

"Tetapi, sebelum abang tolong, Chandran kena tolong abang dulu. Boleh?" Naik berkerak balik dahinya yang merah melintang tue.

"Tolong apa bang?" Dia nampak cam 'blur' jer. Agaknya, dia tengah fikir pertolongan apa yang aku nak dari dia kut sebab skang nie yang bermasalahnya dia.

"Camni, tolong ikut abg, kita pegi buat ic Chandran sama-sama, ok?" Aku tengok muka dia berubah, cam berat je nak setuju.

"Oklah bang" Lemah je dia membalas.

Aku pun suruh dia tunggu kat situ sementara aku gi ATM. Selesai keluarkan duit, aku pun terus ke tempat pertemuan tadi. Dari jauh aku nampak dia menunggu dengan penuh sabar.

"Bang, saya kena pegi Mid Valley dulu la bang pasal ada interbiu. Macam nie, abang bagi duit tue biar saya buat sendiri, abang kalau tak percaya boleh ambil saya punya no. telefon, no. ic, alamat rumah kat dalam report polis nie. Nanti sebelum pukul 4.30 nanti abang tengok abang punya bank duit sudah ada itu dalam akaun." Dia mengusulkan idea yang amat bernas, ye la..aku pun tak yah la penat-penat gi teman dia sampai ke PJ sana.

Aku senyum sambil menepuk bahu kanannya. Bukannya apa, aku pun tak mahu menyusahkan diri aku, tapi aku juga tak nak menjadi di kalangan umat Islam yang percaya bulat-bulat setiap kata manusia yang baru kukenali. Aku tak nak nanti bila ditipu, kebodohan aku nie akan dijaja di kalangan mereka, dengan gambaran orang Melayu Muslim ni bongok. Tapi, bukanlah aku nak kata dia nie penipu, cuma aku lebih suka mengambil langkah berjaga-jaga. Biarlah diri terbeban kerana berhati-hati, dari ditipu dek sikap ambil mudah dan tak peduli.

"Chandran, abang bukannya tak percaya tetapi pengalaman menyebabkan kepercayaan abang pada Chandran tak sampai pun 10 peratus. Banyak sangat kisah penipuan berlaku dalam masyarakat kita sekarang ni. Beginilah, kalau betul Chandran perlukan pertolongan abang, selesaikan dulu interbiu tu. Lepas tu, baru kita pergi buat ic. Nah, ambik no. phone abang nie, nanti dah selesai call abang ok".

Aku tutup perbicaraan dengan memberi no. telefon bimbit aku padanya. Dia pun terus kluarkan handsetnya dan masukkan no. aku. Selepas itu, aku dan dia pun berpisah untuk melakukan kerja masing-masing. Sempat juga aku ingatkan dia sekali lagi supaya jangan lupa hubungi aku nanti.

Petangnya, aku lepak di opis menanti panggilan yang tak pasti darinya. Malas juga nak pegi mana-mana sebab takut tak sedar, maklumlah telefon aku ni telefon zaman tok kaduk dulu. Nak beli yang berteknologi canggih manggih ni takde kemampuan. Tapi tula, tunggu punya tunggu punya tunggu (cam iklan la pulak) takde pun dia call. Orang lain pulak yang hubungi aku beritahu berita gembira yang tak disangka-sangka. Berita apa? Adela....berita tentang bertambahnya rezeki, insyaAllah.

Apapun, aku fikir positif jer. Mungkin dia dah jumpa orang yang boleh bantu dia. Orang yang dah pun hulur RM110 kat dia untuk buat ic baru tu, ataupun.....ish, tak yah la fikir bukan-bukan. Kalau pun dia khianat dan penipu, lambat-laun kabus pasti akan hilang sebaik mentari muncul. Yang penting malam nie kena Istikharah, minta petunjuk dariNya tentang berita baik itu.

2 comments:

Ummu Abiha said...

Cam tau je berita gembira tu? Mestla gembira nak tinggalkan along kat sini... huhuhu...
baru nak mengenali wajah yang indah... hahahaha...

Amir Syahrom bin Aris said...

Berita gembira tu berita lain ma....bukan pasal ETIQA ek...

Pasal wajah yang indah tue, boleh pegi ke blog yg satu lagi..warnaku bercahaya :)