Angin menari perlahan awal petang itu. Hembusannya menyapa gemalai pohon semarak yang meneduhi mereka bertiga. Sesekali, bunga-bunga merah bersulam dedaun hijau muda menghujani alam sekitarnya. Amar mendongak....memerhati sunnatullah yang sedang berlaku di hadapan matanya. Dia akur, kehidupan di dunia terlalu singkat usianya. Kudup bunga yang belum lagi mekar kelopaknya pun bisa tewas pabila disentuh bayu lembut. Subhanallah! Amar menghitung dirinya yang kini sudah berusia 17 tahun. Masih belia, namun itu tidak pernah memberi jaminan bahawa dia terselamat dari jemputan Yang Maha Esa.
Asma masih lagi menanti kata-kata dari Amar. Tadi, Sara dengan beraninya telah berterus-terang perihal masalahnya. Seusai meluahkan segalanya, Sara segera memeluk Asma...buat meredakan tekanan yang telah dilalui.
Sara tunduk menatap limpahan bunga semarak api yang berselerakan di kaki pohonnya. Sempat juga dia mengutip beberapa kuntuman mekar dan menghidu harumannya. Pun begitu, rasa malunya masih tak kunjung padam. Itu tak dikira lagi penyesalan kerana berkongsi episod peribadi kehidupannya dengan si dia yang tak 'berkenaan'. Masalahnya, mulut ini begitu lancar dan petah pula melafazkan segalanya tadi. "Ish....kenapa la aku cerita kat dia?" Sara bermonolog sendiri.
Amar memerhati sekelilingnya. Dia mengutip sekuntum bunga yang terkulai layu berhampiran kakinya. Dia teringat sajak ciptaan T. Alias Talib tentang pokok semarak api yang mentamsilkan jerih perih kehidupan seorang tukang gunting rambut. Gugurnya bunga semarak api kebumi mengambarkan begitu banyaknya harapan yang tidak kesampaian. Kudrat dan kemampuan si tukang gunting detik itu tidak berupaya menjanjikan apa-apa, barangkali dek tersalah percaturan ketika memiliki dua kekayaan; usia muda dan masa lapang. Namun begitu, dia tidak pernah putus asa malah menyandarkan ikhtiarnya pada sepohon semarak api kerana yakin, tidak berubah suatu qadha melainkan dengan suatu qadar.
"Kau suka tak bunga semarak api?"
"Emm..suka jugak....warna merahnya memang cantik, kenapa?" Sara berasa pelik mendengar soalan itu. Dia mencongak di dalam hati, apa kaitan bunga tersebut dengan masalah dirinya.
"Yang mana lebih cantik....yang gugur atau yang masih tergantung di dahannya?"
"Emmm.....rasanya yang di dahan jauh lebih cantik." Sara semakin musykil.
"Yang mana lebih mudah untuk dimiliki dan dinikmati.....yang di bawah atau yang di atas sana?"
"Emmm....tentulah yang di bawah,"
"Walaupun yang di atas lebih indah?"
Sara mengangguk perlahan.
"Nah, kalau begitu...kau beritahulah pada dirinya supaya menilai kembali apa yang telah diputuskan. Jangan sesekali biarkan impian menyesatkan hakikat diri....juga bersyukurlah dengan apa yang ada. Nanti...yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."
Asma tersenyum lebar mendengar penjelasan Amar. Sedari tadi, dia sudah dapat mengagak tujuan soalan-soalan itu dilontarkan. Menerusi analogi yang sesuai dengan persekitaran, ia akan dapat membantu individu yang keliru dalam membuat keputusan sewajarnya.
“Sara macam mana…..setuju?” Asma memulang pertanyaan kepada sahabat baiknya.
Sara mengangkat kepalanya. Dia memandang Amar dan Asma bersilih ganti. Kolam hatinya berkocak, ada riak-riak kerisauan terlakar di permukaannya. Dia sedar, menjawab pertanyaan itu secara jujur akan memakan diri sendiri. Akan tetapi, menipu bukanlah salah satu dari sikap yang wujud dalam dirinya. Baginya, berkata benar sekalipun pahit telah lama subur dan merupakan sebahagian dari sikap yang menunjangi akhlaknya. Dek kerana itulah, dia tidak memiliki ramai kenalan hanya kerana dia tidak mahu berpura-pura dalam menilai seseorang.
Sara mengelus perlahan. Ada nafas keras yang masih tersisa dalam esofagusnya. Dia kembali merenung Amar. Lelaki itu hanya sesekali memandangnya meski pertemuan sudah menghampiri 2 jam lamanya. Amar dilihatnya begitu khusyuk mengunyah gula-gula Mentos sambil memicit-micit bahunya. Dia melempar pandangan ke arah Asma. Teman baiknya inilah yang mencadangkan padanya untuk meminta bantuan Amar.
Dia hairan, bagaimana gadis sebaik Asma boleh bersahabat dengan lelaki yang kasar ini. Yang lebih menghairankan, bagaimana Asma boleh meletakkan sepenuh kepercayaannya pada pelajar lelaki ini yang tidak mendapat tempat di sekolah; baik dari segi akademik mahu pun ko-kurikulum. Mentelah lagi, Amar baru sahaja berpindah ke sekolah mereka awal tahun yang lalu.
“Saya hormati dia sebagai seorang guru sahaja,” Sara memecah kesunyian.
“Kalau macam tu, masalah dah selesailah,” Amar bingkas bangun. Dia mengibas belakang seluarnya dari sisa-sisa daun kering. Sara terkedu. Asma mengerut dahinya.
“Berterus-terang……beritahu dia pendirian Sara yang sebenarnya. Lagipun, itukan sikap Sara yang sebenar? Kenapa dalam hal ini tak jadi diri sendiri?” Amar meneruskan pendapatnya.
“Sara….jangan nak jaga sangat hati dan perasaan orang sehingga prinsip diri tergadai. Dalam hal ini, tak jadi satu kesalahan pun kalau kau utamakan diri sendiri. Malah, kau sepatutnya lebih tahu bila perlunya menghargai orang lain….sebagaimana aku hargai perasaan kau sekarang,” Amar menoktahkan kata-katanya. Setelah berkata sesuatu kepada Asma, dia berlalu begitu sahaja. Sedikit pun tidak berpaling memandang Sara yang masih terkedu.
“Macam tu je nasihatnya,” bisik Sara di dalam hati. Bukan tak pernah didengarnya kata-kata itu dari mulut orang lain, tapi situasi kali ini cukup berbeza kerana penuturnya berjaya menerobos jauh ke dalam hatinya. Bahkan, dengan sekali pertemuan sahaja Amar berjaya meneka sikapnya yang sebenar. Memang dia seorang yang istimewa!
No comments:
Post a Comment