Wednesday, April 2, 2008

MENYENTUH LANGIT CINTA

Pernahkah anda bertanyakan sesuatu perkara dengan baik tetapi jawapan yang diterima tidak lunak intonasinya; penuh sindiran dan endah tak endah sambutannya?

Atau mungkin juga kita melakukan sesuatu dengan maksud yang baik, akan tetapi bukan ucapan terima kasih yang diperolehi sebaliknya sangkaan buruk berbakul-bakul yang mewarnai atmosfera pergaulan kita dan mereka?

Aku yakin malah yakin 'bangat' (meminjam istilah Indonesia) semua orang pernah mengalami situasi ini. Memang kalau diikutkan akal yang sihat, kita pasti akan teramat kecewa dengan sambutan dingin yang dirasai; mana tidaknya kita bersikap baik dan berusaha menampilkan akhlak terpuji dalam menyantuni rakan-rakan namun mereka tidak menghargainya sedikit pun malah tak segan silu menambah perisa kebencian dan permusuhan. Ibarat memberi susu dibalas tuba.

Jadi, apakah langkah yang paling sesuai menangani isu ini? Hmmm.....aku kadang-kadang terfikir betapa ruginya diri ini kerana meninggalkan sikap-sikap remaja dulu. Sikap dimana sesiapa yang berani menyakiti hati aku....alamatnya makan maki atau penumbuk la. Dunia remaja yang dilalui pada masa itu terasa macam best sangat sebab 'keangkuhan' sedemikian memberi kuasa dan penghormatan dari rakan-rakan lain, malah tidak ada yang berani meninggikan suara bila berbicara. Yang paling best, rakan-rakan tak pernah lupa mempelawa bekalan makanan yang diterima setiap hujung minggu. :)

Tetapi kehidupan tak selamanya begitu. Peningkatan ilmu dan kesedaran Islam mengubah sikap tidak matang dan 'keangkuhan' iblis yang merajai hati dahulunya. Aku bukan aku yang dulu. Malah tak ada keinginan sedikit pun untuk kembali menelusuri denai-denai kebodohan sedemikian. Kerap berusaha mengelak dari sebarang persengketaan baik dari segi percakapan dan kelakuan, cuba mengadun peribadi tertinggi Junjungan Rasululllah S.A.W di setiap perimeter hidup. Tetapi begitulah, tindakbalas oksida pastinya berlaku walaupun komposisi yang melingkarinya adalah keperluan yang maha penting. Tak faham? Kalau tak faham cuba-cubalah layari internet atau selak buku teks kimia.

Aku segera teringat sabda Rasulullah S.A.W bahawasanya akhlak terpuji akan terwujud apabila seseorang itu tetap memelihara silaturrahim terhadap sesiapa yang memutuskannya, memberi kepada siapa yang menahan pemberiannya kepada kita dan memaafkan sesiapa yang telah melakukan kezaliman terhadap kita.


Apa yang terzahir dari lidah Rasulullah S.A.W terlalu agung hakikatnya. Siapa yang boleh meneladani tuntutan ini pasti memiliki peribadi terpuji.....yang menyebabkan dirinya bisa menyentuh langit cinta paling tinggi milikNya. Namun, aku tak nafikan sukar nak membentuk diri menjadi sedemikian. Aku ingat lagi, ada antara rakan mengatakan hanya manusia berhati batu sahaja yang boleh melaksanakannya. Aku katakan, manusia berjiwa besar sebenarnya yang memiliki kekuatan ini.....hinggakan dirinya tidak tergugah dengan kebobrokan jiwa kecil insan yang menyakitinya. Orang yang berjiwa tulus sahaja yang tidak akan memutuskan silaturrahim meski satu dunia 'menyepak terajang dirinya ke pinggir longkang'. Orang yang berjiwa pemurah sahaja yang tidak mempedulikan siapa khalayaknya bila ingin berbudi. Sebabnya hanyalah satu, mengharapkan kasih si Dia.

Entahlah, semakin dikawal semakin membuak pula sikap kurang ajar dahulunya. Seakan-akan ia ingin kembali bebas mengkoordinasi jiwa yang selama ini dibajai iman siang dan malam. Benarlah, terlalu sukar mencanai 'besi' zuhud buat menempa 'pedang' takwa. Tetapi, perjuangan tetap perlu diteruskan.....sebab aku tak mahu tergolong dalam kelompok Muslim Mukmin yang lalai dan lupa.

No comments: