Tuesday, April 22, 2008

MENYELAMI HATI WANITA (3)


Bilakah seorang lelaki boleh dikatakan berjaya merebut hati dan cinta seorang wanita? Jawapannya sudah tentu apabila dia telah mampu memerangi ego wanita itu, memiliki perasaannya serta menguasainya. Namun, apakah setiap lelaki mampu melakukan hal itu?

Sebahagian lelaki beranggapan bahawa mereka mampu membuka pintu hati wanita dengan luapan material, hadiah dan kemewahan.

Sebahagian lagi beranggapan mampu membuka pintu hatinya dengan kata-kata yang lembut, senyuman manis serta renungan yang penuh pengertian.

Sebahagian lain pula ada yang menganggap hati wanita persis taman bunga yang boleh disinggahi sesiapa saja yang mencari hiburan dan kesenangan.

Pelbagai tanggapan tentang hati wanita bermain dibenak para pria. Semuanya berusaha tampil memikat dan menawan agar mampu menakluki hati wanita dan merebut cintanya. Namun, apa yang terjadi? Setelah semua usaha dilakukan, setelah semua kemampuan dikerahkan, ternyata mereka berhenti di tengah jalan sebelum sampai pada tujuan mereka yang paling utama iaitu hati wanita. Mengapa?

Wanita memiliki tabiat penuh tipu daya yang menghanyutkan, tipu daya yang timbul dari sifat kewanitaannya yang lemah-lembut. Di sebalik postur tubuhnya yang lemah, Allah memberikan kekuatan berupa kecerdasan dan kemampuan menipu hingga ia mampu membuat sepuluh orang lelaki ditakluk sekaligus dan bertekuk lutut di hadapannya. Semuanya beranggapan bahawa mereka telah mampu bersemayam dihati wanita itu, padahal tidak ada seorang pun di antara mereka yang mengerti selok-belok hatinya, apatah lagi keupayaan menaklukinya.

Walaupun begitu, dengan segala kecerdasan dan kekuatan tipu dayanya, sesungguhnya wanita tidak akan mampu mengecap manisnya hidup tanpa seorang lelaki yang benar-benar menyintainya, menjaganya seraya menyiraminya dengan embun kemesraan dan kasih sayang.

Cinta bagi seorang wanita adalah kata-kata yang mengandungi kekuatan ajaib, yang bila dibisikkan dikedua telinganya, akan menerobos masuk ke dalam hatinya tanpa perlu keizinan sebelumnya.

Dengan kata lain, cinta adalah pintu masuk utama ke dalam hati seorang wanita. Setelah itu barulah harta, kedudukan, pangkat, keturunan dan semua kemewahan yang membuat wajahnya berseri dan bersinar.


Tetapi, apakah semua lelaki mampu menyintai dengan cinta yang tulus? Apa mungkin setiap lelaki tahu dengan pasti cara merengkuh cinta dan memiliki hati seorang wanita?

No comments: