Wednesday, February 20, 2008

DO YOU MIND?


"Kenapa ye?" Michelle mengulangi soalan yang sama. Sekilas dia merenungku dalam, sambil jari-jemarinya menyela rambut yang panjang mengurai ke belakang leher. Segera aku merenung ke hadapan. Platform menunggu lrt di stesen KL Sentral semakin dipenuhi manusia. Barangkali dek hujan yang masih bernyanyi, perjalanan lrt menjadi agak perlahan dari satu stesen ke stesen berikutnya lantas mengakibatkan bilangan orang yang menunggu semakin bertambah setiap minit yang berlalu.

Kebetulan sebenarnya aku bertemu dan berbual dengan Michelle, gadis kacukan Cina-Australia ini. Dan kebetulan juga sebenarnya apabila dia mendengar aku 'mendoakan' saudara Muslim bersebelahanku yang bersin berkali-kali, kesejukan dibasahi hujan. Tertarik mendengar bacaan tersebut dilafazkan barangkali, Michelle lantas bertanyakan sebabnya.

Aku memandang Michelle yang duduk bersebelahanku. Dia tersenyum. Aku turut tersenyum. "Sebenarnya, itulah yang diajarkan oleh Prophet Muhammad S.A.W. Apabila saudara Muslim yang lain mendengar saudaranya bersin dan mengucapkan Alhamdulillah....Segala Puji bagi Allah...Tuhan kami, maka menjadi satu kewajipan pada kami yang mendengar untuk mendoakannya...dan dia pula, kalau mendengar kami mendoakannya, perlu mendoakan kami juga."

"But, i tak dengar pun dia cakap apa2....."

"Itulah, bukan semua Muslim tahu dan sedar tentang perkara ini....."

"Maksudnya?"

"Maksudnya....bukan semua Muslim hari ini benar2 memahami agama Islam, ada yang hanya Muslim pada nama sahaja, ada yang memilih-milih untuk mempraktikkannya, malah ada yang hanya Muslim pada masa-masa tertentu sahaja...sama seperti apa yang berlaku pada penganut Kristian seperti kamu Michelle...."

Michelle membuntangkan matanya. Dia berhenti mengunyah gula-gula getah lantas memandangku dengan raut wajah seakan-akan tersinggung dengan kenyataan yang aku lontarkan tadi. Aduh.....salah ke statement yang aku luahkan tadi. Kami berdua diam....lama. Suasana platform semakin dipenuhi manusia, hingar-bingar jelas kedengaran namun kami berdua masih membisu. Kulihat Michelle menguis telapak sepatu kanannya dengan hujung sepatu kiri. Sedikit kasar kelakuannya, seperti membersihkan sesuatu yang sukar untuk ditanggalkan. Atau barangkali sedang memarahiku dalam diam kerana tidak semena-mena menyamakan dia dengan situasi yang melanda umat Islam hari ini.

Walhal, aku tak sedikit pun berniat sedemikian. Mana mungkin aku sanggup mencalari hati gadis yang baru sahaja tadi bangun memberikan tempat duduknya buat seorang makcik "muslimah" yang penat berdiri. Errr, malu juga dibuatnya, sebab aku yang sepatutnya bertindak sedemikian....tapi tula, barangkali sibuk agaknya memerhatikan ketibaan tren menyebabkan aku tidak perasan tuntutan ibadah umum yang sedang menanti.

Terpukul dengan situasi, segera kutawarkan tempat dudukku kepadanya. Michelle menolak..dan ketika itulah dia mendengar doa yang aku baca. Michelle, seperti gadis Cina yang lain, kelihatan ranggi dengan seluar jeans dan baju tanpa lengan berwarna kuning cair. Sempat kubaca tulisan yan tertera dibajunya "Don't let me go!" Fuh.....ayat, tak ingat. Aku rasa sesiapa yang berjaya memiliki hatinya, tentu tidak akan sanggup melepaskannya. Dengan rambut yang panjang mengurai ke paras dada, Michelle jelas manis bermekap tipis. Ada warna biru muda tercalit di penjuru matanya dan sedikit palitan merah jambu terbias dipipi dan dagunya.

"Maaf, kalau awak tersinggung Michelle. Saya tak bermaksud nak kata yang awak....."

"It's ok...it just that i don't agree with ur last statement."

"Which one? Adakah statement yang saya kata 'sama yang berlaku pada penganut Kristian macam awak tu' ?"

"Yup....." Dia kembali memandangku. Sejurus kemudian, dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Ada panggilan masuk. Dia menjawabnya dalam bahasa Cina. Segera aku berdiri sebaik sahaja melihat sebuah tren masuk ke perkarangan stesen. Di dalamnya kelihatan masih banyak ruang kosong. Aku menoleh ke belakang, memandang Michelle untuk memberitahunya yang aku ingin menaiki tren yang tiba akan tetapi Michelle mengangkat tangannya meminta aku menunggu sebentar.

Dan aku pun menunggu, sedang masa terus berlalu, sejajar dengan berlalunya manusia yang sejak dari tadi memenuhi ruang stesen.


No comments: