Tuesday, December 18, 2007

KETIKA AKU MENCINTAIMU (2)

Selama dua puluh empat jam (24), setidak-tidaknya separuh daripada itu adalah kehidupan kita dengan pasangan dan keluarga kita. Kita pasti pernah menyesal tidak lulus ujian, tidak memenangi sebuah kejuaraan, tidak berjaya dalam temuduga kerja atau tidak berjaya dalam persaingan tender atau kontrak. Namun, penyesalan itu tidak terbanding bila kita merenungi penyesalan akan kehilangan momentum kebersamaan kita dengan keluarga.

Penyesalan akan saat-saat yang telah hilang untuk bermesra, bercengkerama atau berdialog dengan suami dan isteri kita, tidak adanya waktu untuk berbual dan bercanda dengan anak-anak kita, tidak adanya kesempatan walau sekadar untuk berkumpul dan berbincang hal-hal yang ringan. Sedangkan keluargalah seharusnya tempat paling indah, paling nyaman untuk setiap anggotanya. Bukan rakan sekerja, bukan teman sepermainan, bukan pejabat mewah, bukan litar lumba, bukan kolam ikan atau kelong. Bukan sama sekali!


Wahai sahabat-sahabatku yang dikasihi!

Wahai sahabat-sahabatku yang baru sahaja melangsungkan pernikahanmu!

Wahai saudara saudari Muslim Mukminku yang telah lama melayari bahtera kasihmu!

Wahai saudara saudari Muslim Mukminku yang masih lagi bermain digigian pantai cinta!

Wahai saudara saudari Muslim Mukminku yang telah mula menginjak pesisir lautan cinta!

Dan wahai saudara saudari Muslim Mukminku yang masih terawang-awang dalam khayalan nafsu yang tak akan pernah bertepi!

Indahnya kamar pengantin hanyalah 2-3 hari malah wangi kembang melati yang menghiasi hamparan cadar berbaldu juga hanyalah semalam. Pakaian pengantin pula akan tersimpan selamanya sejurus pernikahan berakhir. Bahkan hadiah dan kad ucapan yang dititip akan tersusun kemas tak berusik dalam lipatan laci yang berkunci. Tetapi yang pasti, sebuah pekerjaan dan tugas besar telah, sedang dan akan menanti. Itu yang pasti.

Justeru itu, pastikan bahawa cinta yang telah, sedang dan akan dibangunkan antara pasangan kita bukanlah cinta yang selayaknya 'roman picisan' atau kisah sentimental 'love at first sight', akan tetapi ia adalah sebuah cinta yang didasari cinta kepada Allah. Sesungguhnya, hal inilah yang akan menguatkan cinta dan kasih sayang, kerana Allah yang menumbuhkan rasa cinta dihati manusia. Hasilnya, hubungan yang terjalin adalah sebuah ikatan emosional yang kuat kerana kecintaan kita terhadap pasangan adalah atas dasar kecintaan kita kepada Zat Yang Maha Kekal.

Buat jejaka yang mencari teman sejati, renungkanlah Sabda Rasulullah S.A.W ini:

"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara. Kecantikannya, keturunannya, hartanya atau kerana agamanya. Tetapi pilihlah yang beragama supaya dirimu selamat." (HR. Bukhari & Muslim)

Buat wanita yang mencari teman sejati, renungkanlah jawapan cucunda Rasulullah S.A.W, Saidina Hassan bin Ali ketika ditanya seseorang:

"Saya mempunyai seorang puteri, siapakah yang layak menjadi suaminya menurut pendapat tuan?"

Saidina Hassan berkata, "Nikahkan dia dengan orang yang soleh. Kalau dia mencintai puterimu, dia akan menghormati dan membahagiakan dirinya. Jika dia tidak mencintainya, dia tidak akan menzalimi dan menyakitinya."


No comments: