Friday, July 17, 2009

JELI KELAPA ANAS


Sejak beberapa bulan yang lalu, saya dah jalankan perniagaan menjual jeli kelapa secara kecil-kecilan dibeberapa tempat sekitar Bangsar.

Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan. Demi mengembangkan lagi bisnes yang sedang berkembang ini, (cewah!) saya nak jemput sesiapa yang berminat untuk memasarkannya di sekitar Lembah Klang, insyaAllah.

Manalah tahu, ada yang merancang nak jual kat Bazar Ramadhan tak lama lagi, atau Pasar Malam.....Pasar Pagi ke....takpun nak jual kat opis masing2 (macam yang saya buat, letak kat Surau opis, masyuk! :P)

Harganya adalah seperti berikut :-

1. Cawan besar
- Harga Borong RM0.90/cawan manakala Harga Jualan RM1.50/cawan

2. Cawan kecil
- Harga Borong RM0.60/cawan manakala Harga Jualan RM0.80/cawan

Buat masa ni, cawan besar je ada 'sticker' dan tempahan minimum adalah sebanyak 50 cawan. Begitu juga untuk majlis keramaian cam kenduri kahwin dan sebagainya, bagi tempahan sebanyak 200 dan ke atas, harganya jadi RM0.80/cawan besar dan RM0.50/cawan kecil.

Jadi, kepada sesiapa yang berminat atau pun ada sebarang pertanyaan, bolehlah hubungi saya ditalian 013-2819990.

Buat kawan2, terima kasih atas pandangan dan sokongan yang diberi selama ini, doakan semoga bisnes ini berjaya ye....termasuklah perancangan untuk menghasilkan jeli kelapa perisa baru :P

Thursday, March 19, 2009

NOTA PUTUS CINTA

Hehehe.....saja je aku letak tajuk nie, nak bagi orang2 yang berkenaan segera membacanya. Maklumlah, banyak benar cerita2 sensasi berkumandang di ruang udara Dataran Maybank. Apapun, aku bukanlah nak kongsi kisah cinta sesiapa, cuma sekadar nak memberi pandangan seputar perbicaraan aku dengan seseorang yang bercadang ingin memberi nota putus cinta kepada Rabbul Izzati dek melihat tiada lagi keindahan hidup di sisi dunianya sehingga tergamak mengeluarkan kata2 "lebih baik mati dari hidup menderita". Astaghfirullahal'azim.

Soalnya, benarkah kematian itu menyelesaikan masalahnya? Bila ditanya dah bersedia ke untuk berpindah ke alam baru, dia menjawab penuh yakin bahawa Allah akan mengampuni segala dosa hambanya biar sebanyak buih dilautan, malah masuknya manusia ke dalam syurga nanti pun bukan semata-mata kerana amalan baik yang dikerjakan selama ini akan tetapi dek rahmatNya Yang Maha Luas. Pergh..... jawapan memang 'marvellous', tapi mengharapkan rahmatNya perlukan bukti dari kita selaku hambaNya. Memang, ada ketikanya masalah yang datang seakan tak mampu lagi ditanggung, akan tetapi Rasulullah S.A.W tak pernah pun mengajar umatnya memohon untuk meneguk air kematian.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud : "Dan barangkali kamu membenci sesuatu, sedangkan ianya baik untuk kamu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu sedangkan ianya buruk untuk kamu. Dan Allah, Dialah yang maha mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah : 216)

Sepatutnya, kalau betul2 meyakini janji Allah itu, kenapa mengambil mudah urusan hidup yang telah diberi selama ini, tamatkan segalanya dan serahkan diri pada Allah Yang Maha Pengampun untuk memaafkan segala kesilapan begitu saja......tanpa sebarang usaha langsung untuk meraih simpatiNya.

Anas bin Malik R.A berkata, sabda Rasulullah S.A.W : "Jangan seseorang kamu bercita-cita untuk mati disebabkan kemudharatan yang menimpanya di dunia, akan tetapi hendaklah dia berkata : "Ya Allah, hidupkanlah aku, selama hidup itu baik untuk aku, dan matikanlah aku selama-mana mati itu baik untuk aku." (HR Al-Bukhari)

Aku teringat pada satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim :-

Anas bin Malik R.A berkata, “Rasulullah S.A.W. suatu ketika pergi menziarahi seorang lelaki di kalangan muslimin yang ditimpa penyakit yang teruk, sehingga dia menjadi seperti seekor anak burung yang baru menetas (lemah dan tidak berdaya).

Lalu Rasulullah S.A.W. bertanya kepadanya: “Adakah kamu telah berdoa atau meminta sesuatu daripada Allah?”

Jawab orang itu: “Ya, aku pernah memohon: “Ya Allah, apa-apa dosaku yang akan dibalas diakhirat, segerakanlah balasannya ke atasku di dunia.”

Rasulullah terkejut sambil berkata: “Maha suci Allah, kamu tidak akan ada upaya atau kamu tidak akan mampu (menanggungnya), mengapa kamu tidak memohon dengan berkata: “Ya Allah, kurniakanlah kebaikan kepada kami di didunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka.

Kata Anas: “Lalu Baginda berdoa kepada Allah, maka Allah menyembuhkan orang tersebut.” (H.R. Muslim)

Buat mereka yang berkenaan, kehidupan bukanlah satu perjalanan yang panjang. Jadi, tak payahlah terlalu beratkan diri untuk melayani karenahnya. Yang patut sangat dikhuatiri adalah 2 alam yang berikutnya, sebab pada keuda-duanya itu tidak ada lagi ruang dan peluang untuk membetulkan segala yang telah berlaku. Di dunia fana ini, kalau pun ada kesilapan terburuk yang pernah dilakukan, kita masih memiliki sebegitu banyak kesempatan untuk memperbaikinya serta memohon keampunan dari Allah.

“Tidak ada seseorang yang ditimpa keluh kesah dan kesedihan, lalu dia membaca: (maksudnya) “Ya Allah sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hamba lelakiMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku berada di dalam gengamanMu, telah berlalu ke atasku hukumanMu, adillah ke atasku setiap ketetapanMu, aku memohon kepadaMu, dengan setiap nama yang Engkau namakan diriMu dengannya, atau dengan nama yang Engkau turunkannya di dalam kitabMu, atau dengan nama yang Engkau ajarkan kepada salah seorang daripada hambaMu, atau dengan nama yang Engkau simpan ia di alam ghaib di sisiMu, untuk Engkau menjadikan al-Quran itu penghias dan cahaya hatiku, menghapuskan kesedihanku dan menghilangkan keluh-kesahku.” Melainkan Allah akan menghilangkan keluh-kesah dan kesedihannya dan Allah gantikannya dengan kegembiraan.” (Hadith riwayat Ahmad dan Ibn Hibban, dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir di dalam Syarh Sunan al-Tirmizi - al-Durar).

Wednesday, March 18, 2009

MEDAN KERJAYA BARU

Sudah terlalu lama aku tak menaip sesuatu dalam blog ni, sibuk benar dibuatnya sejak berpindah ke tempat keje baru. Malah kesibukan tu makin bertambah-tambah amplitudnya bila aku diamanahkan untuk mengawal selia prestasi keje semua syarikat2 penyelenggaraan yang sedang memberikan perkhidmatan disetiap premis milik syarikat aku. Err....bukan aku punya syarikat ek, tapi syarikat tempat aku keje sekarang ni.

Memang, kalau nak dibandingkan dengan tempat keje sebelum ni, jauh lebih berat bebannya. Tapi, rasanya tak adil mencari-cari perbezaan antara keduanya kerana ruang lingkup dan medan perjuangannya tidak sama dari pelbagai sudut terutamanya dari perspektif pengurusan dan tanggungjawab. Senang cakap, ada perubahan besar yang perlu ditangani, perubahan yang memerlukan teknik pengurusan yang sama sekali berbeza dengan skop keje dulunya. Ala....bahasa omputihnya...Change Management.

Aku perasan, ada banyak perkara baru sedang diperkenalkan dalam jabatan harta ini namun begitu matlamat perlaksanaannya mungkin sukar dicapai seandainya majoriti orang bawahan seperti aku sering menyalahkan 'top management' yang datang dengan pelbagai idea, gagasan juga wawasan baru. Memang, bila ditimbang tara dengan akal manusia, ia nampak seakan-akan lebih menguntungkan mereka. Tapi, aku tak nak jadi kelompok yang menggunting dalam lipatan masa, so...setiap kali ombak perubahan ini melanda, seboleh mungkin aku paksa diri berenang-renang mengikut arusnya. Alhamdulillah, mula-mula tu cam tenggelam timbul la jugak, tapi lama2 leh buat kuak lentang lagi....walaupun adakalanya kena pakai 'pelampung' la.

Mungkin akan ada yang melabel aku sebagai "Pak Turut" atau "Kaki Bodek"...... :) nampaknya silap besarla dorang sebab aku jenis orang yang pasti akan bersuara bila nampak tak betul duduk letaknya sesuatu perkara itu. Acapkali juga aku sarankan mereka, kalau tak puas hati, lebih baik luahkannya pada pihak berkenaan supaya mereka tahu arahan yang diberi tidak bersesuaian dengan perlaksanaan kerja. Masalahnya, masing-masing lebih rela menjadi lilin yang membakar diri, malah dalam masa yang sama turut menggunakan lilin tersebut untuk menyalai daging saudara2 Islam lainnya buat "breakfast, lunch & probably dinner".

Entahla, pada aku memang susah untuk menggembirakan hati semua pihak, selagi mereka tidak berusaha untuk keluar dari zon yang menzalimi diri mereka sendiri. Kadang2, bila mendengar cerita2 dan sembang sumbang tentang individu2 tertentu, jadi kesian pun ada pada yang menjadi subjeknya. Dan terlebih-lebih simpati pula pada 'pengumpat2' yang Rasulullah S.A.W sebut sedang membakar pahala amalan masing2 sepanjang sesi forum itu berlangsung. Soalnya, sukar sangat ke nak berkata benar dengan makhluk Allah yang sama2 makan nasi tu? Bila aku timbulkan isu mengumpat, ada pulak yang kata; kalau camtu susahla nak cakap ape2......hampeh betulla korang ni. Dah kalau berani sangat cakap belakang2, pegila tunjukkan semangat juang berdegar-degar tu dengan meluahkan segala isi perut pada si dia.

Pun begitu, aku tak salahkan mereka 100% sebab pihak yang satu lagi juga harus tahu bagaimana mendekati khalayak kakitangan bawahannya. Mana mungkin dalam masa yang begitu singkat dan mendadak, segala pembaharuan dilempar sepenuhnya atas bahu mereka yang bertindak selaku pelaksana selama ini; sebabnya perkara yang telah diaplikasi dulu pun masih tak dapat difahami sepenuhnya. Aku sendiri pun perasan kecelaruan dalam pembahagian kerja antara 'staff' hinggakan ada yang memikul begitu banyak tanggungjawab berbanding rakan lainnya. Malah, ada yang sepanjang masa melayari internet sambil mengudap. Musykil gak diri dibuatnya.


Friday, October 24, 2008

HUJAN PASTI BERHENTI

Aku sempat membaca blog kengkawan yang lain. Dorang memang kreatif dan banyak idea. Ada di kalangan mereka yang penulisannya bergerak sejajar dengan isu-isu semasa. Aku je yang tak boleh nak buat camtu.....agaknya sebab lembap kut. :) Mungkin juga sebab aku jenis yang pemalas nak kupas hal ehwal terkini dek tak kreatif memberi pendapat peribadi buat mengimbangi permasalahan yang dibicarakan.

Dalam banyak-banyak blog yang aku baca tue, ada la seorang kawan nie menceritakan perihal keluarganya yang sedang berhadapan dengan masalah adik lelakinya. Kalau tak salah, segalanya bermula dari kegagalan rumah tangganya. Aku salute diri dan keluarganya kerana masih berupaya mengunyah santapan pelbagai rasa yang terhidang itu tanpa putus asa. Walaupun aku tak pasti cerita yang sebenar, tapi aku pasti bangat setiap keluarga yang masih bertahan dan sabar dengan kejahilan dan kejahatan ahli lainnya bukanlah calang-calang keluarga.

Hakikatnya, bukan mudah untuk merealisasikan saranan agama supaya memohon pertolongan dengan jalan sabar dan solat kerana hanya yang benar-benar segar imannya akan mampu bersabar, dan semestinya golongan yang langit sabarnya tak bertepi sahaja mampu menegakkan solat buat menunjangi rumah peribadinya. Bak kata seorang teman, ianya tak semudah membalikkan telapak tangan bila menyelesaikan segala dugaan yang menimpa.

Aku jadi teringat pada firman Allah dalam Surah Alam Nasyrah iaitu ayat 5 dan 6. Maksud kedua-dua ayat itu adalah:

Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan (5)

Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan (6)

Ibnu Abbas r.a. menceritakan bahwa sebab2 turunnya ayat ini adalah kerana orang-orang musyrik mencela orang-orang muslim kerana kemiskinannya. Imam Ibnu Jarir pula mengetengahkan sebuah hadis melalui Hasan yang menceritakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, yaitu firman-Nya, "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." (Al Insyiraah, 6) Nabi saw. bersabda, "Bergembiralah (hai orang-orang mukmin) kelak akan datang kemudahan bagi kalian, karena satu kesulitan sekali-kali tidak akan dapat mengalahkan dua kemudahan." Juga sabda Nabi Muhammad S.A.W : "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku".

Apapun, aku cuma berharap agar dirinya dan sesiapa yang sedang membaca agar tetap dalam keyakinan bahawa pada setiap kesukaran itu, pasti kesudahannya berita gembira. Jangan sesekali putus asa dengan qada' dan qadarNya. Ini kerana Allah bila menguji seseorang itu, memang sesuai dengan kemampuan diri individu itu. Teringat aku perbualan masyhur seorang ibu pada anaknya tatkala dirinya ditanya kenapa mereka yang diuji dengan kemiskinan, lalu ibunya menjawab dengan penuh keyakinan: "Kerana hanya kita yang mampu bertahan dengan dugaan sebegini". Subhanallah!

Sebagai tambahan buat mereka yang sedang mencari-cari jalan penyelesaian masalah kehidupan, eloklah jadikan Kalam Allah yang satu ini sebagai amalan hidup yang berkekalan:-

1. Barangsiapa membiasakan membaca surah Alam Nasyrah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah permudahkan urusannya serta dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya.

2. Sesiapa yang membacanya nescaya Allah turut melapangkan dadanya serta dijauhkan daripada segala kesukaran dalam segala urusannya. Dihilangkan segala sifat kesal dan jemu, serta mendatangkan rajin dalam mengerjakan ibadat.

3. Barangsiapa membaca Alam Nasyrah sembilan kali sesudah solat fardhu nescaya Allah akan menjauhkan daripada kesempitan hidup dan dimudahkan rezeki dalam segala urusan.

Wallahu'alam.

Wednesday, October 22, 2008

KUCING YANG DISIALKAN

Ada banyak perkara dalam hidup ini yang tak masuk akal tapi ramai di kalangan kita percaya sangat2. Semuanya kerana ia kerap berlaku dan natijahnya dirasai oleh banyak pihak. Biasanya, yang menguatkan lagi kepercayaan tu ialah bilamana ia dialami oleh mereka2 yang dikategorikan sebagai seorang 'alim' dalam masyarakat. Dari sinilah bermulanya pandangan songsang pada setiap qada' dan qadar Allah.

Bila persepsi dah salah, perilaku yang menyusul selepas itu sudah pasti tak tepat dan jauh dari kebenaran. Itulah yang berlaku dalam perbualan aku ngan beberapa orang kawan semalam. Asalnya borak-borak kosong jer....tapi ntah camana ntah leh berlarutan jadi diskusi ilmiah lak. Puncanya, sorang member nie timbulkan isu pasal kepercayaan orang2 tua tentang kucing; katanya kalau sape2 yang langgar kucing mesti lepas tu akan terlibat dengan kemalangan. Aku memang setuju sangat dengan statement tue....ye la...langgar kucing tu dah kira kemalangan la. :P

Tapi, yang dorang nak perdebatkan adalah pendapat orang2 tua yang mengatakan lepas jer langgar kucing, gerenti terlibat ngan accident lebih besar. Menurut yang empunya citer, ramai yang berdepan dengan situasi nie pasti akan terlibat dengan kemalangan yang jauh lebih dahsyat: ada yang terbabas la, terbelah dua kenderaannya, accident ngan lorila....pendekata kalau dah langgar kucing tue, berhati-hatila sebab bakal berdepan dengan malapetaka yang jauh lebih 'mengerikan'. So, penyelesaiannya, kalau anda kebetulan terlanggar kucing, tak yah la gi mana2, lebih baik balik rumah tido.

Entahla, aku bab2 nie memang tak cakap banyak. Sound tepat jer. Malasla nak jaga hati orang. Sebabnya isu nie dah melibatkan soal akidah. Bukan leh buat main2 bab kepercayaan nie. Silap-silap jatuh syirik. Bila aku kata jangan termakan dengan pendapat orang2 tua yang tak masuk akal tue, dorang bantai aku lak kata bukan sebarang orang yang berpendirian sebegitu. Boleh kata yang pegang pendapat nie orang yang berilmu, alim kat kampung dia. Tu la, asal orang tua dan terkenal alim jer terus telan mentah2 apa yang terpacul dari mulut dia. Masalahnya, dari sudut mana dia menilai kealiman seseorang individu tu pun aku tak pasti. Walhal, begitu ramai orang yang alim tetapi ilmu yang dimiliki tak memberi manfaat pada diri mereka.

Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqofi, beliau berkata: Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Katakan padaku suatu kata-kata yang tak perlu lagi aku bertanya kepada sesiapa mengenainya selepas engkau." Baginda bersabda: "Katakanlah: Aku beriman dengan Allah, kemudian istiqamahlah (tetap teguh di atas jalan yang betul)." (HR. Muslim dan Ahmad)

Persoalannya, dimana nilai 'iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in - hanya engkau yang kami sembah dan hanya engkau kami memohon pertolongan' yang dibaca setiap kali bersolat? Sejak bila pulak kucing jadi begitu sial, sampai leh merana orang yang terlanggarnya? Habih, camana lak kalau langgar anjing, biawak, katak, tikus, gajah, lembu, kambing ek? (Kitorang penah terlanggar kambing tapi tak tahu mana dia pegi, hilang camtu jer) :P

Selalunya, kebetulan2 camnie yang jadi kepercayaan tegar dalam kepala hotak kebanyakan kita Melayu Muslim. Hanya kerana ia sering berlaku, maka bolehlah ia dijadikan panduan dalam kehidupan. Itu yang timbul kepercayaan kalau bini mengandung tak boleh pergi pancing ikan, tembak kera yang rosakkan tanaman, tahan jerat ayam hutan, dan seangkatan dengannya yang bersangkut-paut binatang. Pendapat yang lagi best, bila dah masuk beberapa bulan kandungan, takleh cakap bukan-bukan, mencarut, mengutuk, senang citer jadi baik selagi anak tak lahir. Lepas tu, bolehla kembali menjadi orang 'hutan' atau sahabat syaitan.

Entahla, maleh nak komen panjang-panjang, boleh pulak ada tempoh masa nak berbudi pekerti mulia. Apapun, aku dah sampaikan apa yang aku tahu dan yakini, tapi bab terima ke tidak, tolong la jangan tanya orang tua alim kat kampung korang. Carila ustaz2 yang dikenali ketokohannya....ala...yang bagi kuliah kat surau kita tu pun dah kira ok sangat2.

Tuesday, October 21, 2008

TIADA MUSIBAH TANPA IZINNYA

Sudah lama tak menaip.....bukan kerana malas atau takde mood, cuma kesibukan melayan dunia seringkali mematahkan pena minda dari menumpahkan karya dalam blog ini. Kalau diikutkan, banyak isu yang telah ditulis tapi, tengah sedap-sedap goreng ada jer keje baru yang nak dibuat. Akhirnya, apa yang dah dikarang terhenti separuh jalan. Ditambah pula dengan penat memandu pergi balik Penang yang masih tak hilang sisanya, maklumlah, dah lama benar tak drive jauh2 macam tue. Bila sekali-sekala bawak kereta 5 jam lebih, alamatnya memang 'selamat' la katil kat bilik hotel.

Pun begitu, seronok juga rasanya pergi jalan-jalan nie. Dulu masa remaja 15-16 tahun, selalu sangat gi Komtar ngan sepupu. Bukan buat apapun, layan main game kat sana. Puas main, pekena nasi kandar ngan teh tarik pastu balik rumah dia kat Bandar Bharu, Kedah. Selalunya, kitorang keluar awal pagi lepas sarapan, baliknya pulak dalam pukul 8-9 malam. Entah jin game mana yang sampuk kitorang pun tak tahu la sampai boleh tahan main benda alah tue.

Kali ni, aku pegi Penang temankan odek sebab dia kena handle satu kes kat Mahkamah Tinggi Georgetown. Kalau ikutkan, boleh jer nak bia dia gi sorang2 naik flight, tapi....hati kat dalam nie risau nak biarkan separuh dari jiwanya berkelana tanpa bodyguard. Aku dah pakat ngan odek nak ambil cuti dalam 3 hari; jadi ada la masa buat odek siapkan kejenya dengan selesa, tak terkejar-kejar lepas tue jalan2 cari makan + minum kat sana. Mulanya ingat nak pegi berdua je, alih2 angkut skali 3 'pengacau' tu sebab tak nak menyusahkan Jid n Jeddahnya. :P

Siap sarapan dan kemas rumah, kitorang pun bertolak dalam pukul 10 pagi. Sebelum tu, hantar odek ke Shah Alam dulu sebab dia nak kena ambil tarikh untuk satu kes. Selesai, terus dari Shah Alam susur ke lebuhraya Guthrie pastu terus potong masuk Plus. Tak sampai sejam memandu, 3 'pengacau' tu dah tidur. Aku jeling odek, tengok mata dia pun terkedip-kedip macam malu-malu tapi mahu.....mahu tidur. Ala.....faham, mesti dia penat sebab semalam berjaga nak siapkan keje untuk hari ini. Mula2, jual mahal la tak nak tido, leh tahan konon. :) Alih2, lelap gak dia kat sebelah aku. Sudah, aku nie memang susah skit kalau takde teman borak. Ada dua je cara nak elakkan aku dari timbul rasa yang bukan2; pertama buka lagu dan bantai nyanyi skali atau kedua aku kena drive laju skit dari biasa. :P

Masalahnya, kadang-kadang aku tak sedar yang aku dah buat dua2 skali dalam satu masa. Memang tak perasan pun, cuma sebelum sampai R&R Sungai Perak, aku jadi pelik sebab jalan tetiba jer sesak dek kenderaan yang bergerak perlahan. Ingatkan ada kemalangan, rupa-rupanya road block. Sudah, naluri kata mesti sangkut jap lagi sebab memang aku sedar tadi dah overspeed. Elok jer sampai depan polis tue, terus dia ayun tangan suruh parking tepi. Aduhai, sengih je la sebab hari nie dalam sejarah aku bakal kena saman buat pertama kalinya di lebuh raya. Sementara tunggu dia datang, mulut aku dah kumat-kamit baca doa tawakal dan pelindung musibah.

"Assalamu'alaikum bang!" aku terus bagi salam kat bapak polisi tu selepas turunkan tingkap.

"Wa'alaikumusslam. Nak pegi mana ni? Awak tahu tak kenapa ditahan nie?" Dia membalas dan bertanya. Serius jer mukanya.

"Saya nak ke Georgetown. Pasal memandu laju? Maafla bang, saya tak perasan", spontan aku jawab.

"Mintak lesen. Ni kalau saya bukak saman ni kena RM300, ada duit nak baya ke?" dia bertanya sambil membelek lesen aku.

"Maaflah bang, kalau boleh tak nakla kena. Lagipun ini baru pertama kali saya nak kena saman."

Perrgggh! Memang aku mintak2 jauhla dari saman nie sebab RM300 banyak tue. Odek buat muka rilek jer sbb dia dah biasa sangat benda nie. Aku senyum + gelak2 lagi memikirkan camana leh tak sedar terpandu laju. Selalunya, aku cukup jaga halaju supaya tak lebih 110. Tapi biasala, dah masuk highway memang tak sedar...tup tup 140 peginyer.

Tak lama lepas tue, bro polis tue datang sambil memberikan lesen aku. Lepas tue dia blah camtu jer. Aku lak musykil. Kena ke tak kena nie. Aku pun apalagi, terus angkat tangan panggil bro. tu nak mintak kepastian.

"Awak nak kena saman ker?" Dia tanya aku cam tak puas hati.

"Kalau boleh tak nak." Balas aku sambil tersenyum.

"Abih tu, tunggu apa lagi. Aku dah bagi lesen tu ko blah je la." Jawabnya sambil mengisyaratkan dengan kepalanya supaya aku cepat2 gerak.

"Ye ke bang. Makasih, assalamu'alaikum". Aku pun cepat2 tarik handbreak. Alhamdulillah, tak jadi dia nak saman. Dapatla aku guna duit tue buat ronda tempat2 menarik kat Penang nanti.

Alhamdulillah.... inni tawakkaltu 'alallahi rabbi wa rabbikum mamin dhabbatin illa hua akhizum bina siatiha inna rabbi 'ala siratim mustaqim.

Monday, September 15, 2008

FALSAFAH SEORANG DRIVER

Hari ni hari yang ke 17 Ramadhan. Semalam, kat masjid aku ada ceramah sempena Nuzul Quran oleh Ustaz Badrul Amin. Best tue. Tapi, yang 'marvelous' lagi, hari ni orang Selangor cuti.....cuma, yang tak syoknya...aku....dok kat kl. So, kena keje la jawabnya. Apapun alhamdulillah, tak dapat cuti pun takpe la. Mana la tahu, esok2 kalau ada perubahan dalam negara (ai...lain macam jer bunyinya) merasa gak cuti Nuzul Quran nie. :P

Lagipun skang nie, kan tengah heboh satu negara pasal DSAI dah cukup kuota nak ambil alih kerajaan. Kalau tengok berita, Pak Lah habaq tak dak apa-apa pun, depa gebang je lebih. Sebabnya, kalau depa berani habaq la sapa dia MP yang nak lompat parti tu. Aduhai.....Ramadhan tahun nie memang gempaq. Aritu, tunggu gak 169, tapi takde apa-apapun yang berlaku. Ala...dah agak dah pun, kalau ada berlaku seperti yang dicanangkan rasanya 2 3 hari sebelum tue dah riuh dah satu negara. Nie tak, senyap jer....alhamdulillah.....semoga urusan dunia yang berlangsung sekarang dan akan datang tak akan mampu menghalang terbentuknya Daulah Islamiyyah, insyaAllah.

Aku berkesempatan berbual dengan seorang driver Datuk/Dato' kat Dataran Maybank ni. :) Nak buat camana, nak borak ngan datuk, depa tak layan....dengan driver datuk pun kira ok la. Tak bincang isu hangat dan sensasi lagi terkini pun, sekadar mengisi masa yang ada tatkala terserempak kat tengah jalan masa nak balik ke opis. Kalau diikutkan, aku memang selalu sangat bertembung ngan Brother ni....pastu setakat senyum dan bagi salam je. Maklumlah, member driver datuk, senior jauh dari aku yang masih 'muda' nie. Ntah camana ntah, dia boleh stop lak ajak aku layan sembang ngan dia.

Biasalah, orang2 senior nie kalau dah bukak meja, alamatnya bertali-temali la boraknya. Dari satu isu ke satu isu, macam-macam yang dia diskusikan...sampai ke bab-bab peribadi pun dia kasi satu kali goreng sama itu dalam kuali muzakarah. Dalam diam, aku memang 'salute' brother nie sebb ceritanya tak merapu meraban tak tentu hujung pangkal. Benar, dia banyak menceritakan perihal dirinya tetapi atas setiap insiden dan peristiwa yang dilalui, dia pasti akan pulangkan pangkal ceritanya kepada Yang Maha Berkuasa. Aku ingat dengan jelas, bagaimana dia menggambarkan kekesalan dirinya kerana tidak begitu menghargai nikmat muda yang pernah satu ketika dahulu dimilikinya. Katanya lagi, betapa beruntungnya aku kerana pada usia yang separuh hayat Rasulullah S.A.W ini, Allah beri kesempatan buat aku tunaikan segala perintahnya dengan selesa. (Kebetulan aku baru balik dari surau).

Alhamdulillah, beruntung rasanya dengan kesihatan yang baik dan kekuatan yang ada aku diberi taufik olehNya berjemaah di surau. Sedar tak sedar, hampir satu jam aku layan borak ngan dia. Dia pun minta izin nak teruskan kerjanya. Sebelum berpisah, sempat gak dia pesan kat aku tiga perkara yang menjadi pegangan hidupnya bila berurusan dengan manusia. Yang pertama, kebencian orang jangan dibuat. Kedua, kemarahan orang jangan dicari. Yang terakhir, kesukaan orang jangan diambil. Hmmm......